KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan untuk menaikkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dari enam kepada lapan peratus pada pembentangan Belanjawan 2024 disifatkan sebagai langkah kurang tepat berbanding dengan sistem percukaian lain yang lebih efisien.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun kenaikan itu tidak membabitkan makanan dan minuman, ia akan memberi kesan berantai kepada semua aspek yang turut mendorong kenaikan kepada barang-barang asas.

"Ini kerana peniaga tidak akan menyerap kenaikan cukai dan kos pengeluaran mereka.

"Justeru, saya sekali lagi berpendirian bahawa sudah tiba masanya untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan pada tahun 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera menambah, GST terbukti jauh lebih cekap, telus dan adil berbanding SST.

Menurutnya, ketika GST dihapuskan, negara hilang kira-kira RM20 bilion sehingga RM30 bilion setahun akibat 'black economy' kerana tidak dapat pantau mereka yang tidak membayar cukai.

"Kenaikan cukai SST sebanyak dua peratus ini juga hanya memberi hasil tambahan sebanyak RM3 bilion kepada negara.

"Malah firma audit antarabangsa, Deloitte meramalkan kenaikan dua peratus SST hanya mampu menambah pendapatan sekitar RM900 juta.

"Adakah ini berbaloi dengan kesan yang akan dihadapi oleh rakyat?" katanya lagi.