KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kadar gaji minimum baharu yang dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 dijangka menjadi pemangkin utama dalam merangsang perbelanjaan isi rumah, sekali gus menyokong unjuran pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 4.5 peratus pada tahun 2027.
Provost di Malaysia University of Science and Technology (MUST), Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai menjelaskan perbelanjaan isi rumah merupakan nadi utama ekonomi Malaysia dengan menyumbang kira-kira 60 peratus kepada pertumbuhan keseluruhan.
Langkah meningkatkan pendapatan rakyat ini dilihat sebagai strategi serampang dua mata kerajaan bagi mengekalkan momentum ekonomi negara, terutama ketika mendepani jangkaan fasa kitaran ekonomi yang lebih perlahan menjelang 2027.
Bagaimanapun, beliau menyatakan impak kenaikan RM300 atau sekitar 17 peratus ini terhadap permintaan domestik dalam masa terdekat adalah terhad. Faktor utama susulan langkah pengecualian pelaksanaan yang diberikan kepada lebih 1.3 juta peniaga dan perusahaan yang merekodkan hasil jualan tahunan kurang daripada RM50 juta.
"Walaupun langkah ini melibatkan lebih empat juta pekerja secara keseluruhan, sebahagian besar daripada mereka berkhidmat di firma-firma besar termasuklah pekerja asing yang lazimnya menghantar sebahagian pendapatan ke negara asal.
“Ditambah pula dengan skala pengecualian syarikat kecil yang jika dianggar menggaji sekitar lima pekerja setiap satu, jumlah tenaga kerja yang tidak menikmati penyesuaian gaji ini adalah besar. Justeru, ini merupakan satu langkah jangka pertengahan dan bukannya dasar yang memberi kesan serta-merta," katanya dalam program Fokus Minggu Depan, pada Sabtu.
Mengulas lanjut mengenai pasaran buruh, Dr. Barjoyai menekankan pertumbuhan pendapatan pekerja dalam jangka panjang sebenarnya masih sangat bergantung pada keupayaan industri meningkatkan pengeluaran dan keuntungan melalui produktiviti.
Data menunjukkan pasaran negara mempunyai ruang pertumbuhan yang luas memandangkan kadar produktiviti meningkat sebanyak 9.7 peratus tahun lepas berbanding kenaikan gaji yang hanya mencatat 2.5 peratus, manakala produktiviti tahun ini terus berkembang sebanyak 4.5 peratus.
Menurutnya, jurang tersebut membuktikan kecekapan ekonomi berkembang lebih pantas daripada pertumbuhan upah.
Sehubungan itu, integrasi teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dilihat sebagai kunci utama bagi membolehkan majikan membayar gaji yang lebih tinggi.
Pada masa ini, lebih 85 peratus perniagaan dan syarikat di Malaysia telah menggunakan AI, langkah yang dijangka memperkasakan kapasiti serta output industri dalam tempoh lima tahun atau kurang untuk menjana keuntungan yang lebih besar.