Kenaikan kos bahan binaan antara punca pemaju tingkatkan harga rumah - Penganalisis hartanah

Hilmi Malik
Januari 27, 2022 09:39 MYT
Situasi COVID-19 yang masih melanda negara masih memberi kesan kepada pasaran hartanah dan ia memakan masa untuk kembali positif, kata Pengarah Penyelidikan Rahim & Co, Suleiman Saheh. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Kenaikan harga bagi bahan pembinaan telah menjadi antara faktor pelancaran projek perumahan terpaksa ditangguhkan pihak pemaju disebabkan bebanan kos yang terpaksa didepani.
Keadaan itu juga menyebabkan pihak pemaju terpaksa bertindak menaikkan harga jualan rumah bagi menampung projek yang sedang dibangunkan.
Menurut Pengarah Penyelidikan Rahim & Co, Suleiman Saheh, tindakan itu sememangnya bukan langkah yang terbaik malah akan menyukarkan lagi proses jualan ekoran harga yang dikenakan di luar kemampuan pembeli.
"Bagaimanapun, perkara ini bergantung kepada keadaan dan lokasi. Ada sesetengah lokasi penduduknya masih mampu, maka pemaju akan meneruskan rancangan pelancaran mereka.
"Namun, bagi projek perumahan mampu milik, pemaju mungkin akan menangguhkannya kerana jika mereka menaikkan harga, dikhuatiri harganya sudah tidak mampu milik dan menyebabkan ramai tidak boleh membelinya," katanya ketika sidang media majlis taklimat liputan pasaran hartanah Malaysia dan tinjauan prospek 2022 oleh Rahim & Co pada Khamis.
Bercakap mengenai prestasi pasaran hartanah bagi tahun 2021, situasi COVID-19 masih menjadi penghalang apabila wujudnya gelombang baru sebaliknya pertumbuhan yang positif dijangka memerlukan sedikit masa.
"Walaupun prestasi enam bulan pertama telah meningkat dengan ketara, prestasi suku ketiga yang menurun menyebabkan pertumbuhan semula terbantut.
"Ini secara keseluruhannya menghasilkan paras transaksi sembilan bulan pertama yang kurang rancak dan di bawah jangkaan. Pemulihan pasaran hartanah ke tahap sebelum COVID-19 akan memerlukan lebih masa.
"Di samping itu, langkah-langkah rangsangan ekonomi oleh kerajaan adalah penting dan memainkan peranan dalam memastikan kestabilan pasaran hartanah," ujarnya.
Bagi memastikan kebangkitan semula industri berkenaan, adalah penting bagi mengharapkan keadaan COVID-19 di negara ini bertambah pulih sekali gus mengelakkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Turut hadir pada sesi taklimat berkenaan, Pengerusi Eksekutif Rahim & Co, Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Harta Tanah Rahim & Co, Siva Shanker.
#COVID-19 #pasaran hartanah #ekonomi #kos bahan pembinaan