BUSINESS

Kenaikan tarif AS beri impak terhad terhadap KDNK global di luar rantau APAC - S&P Global Ratings

Bernama 02/05/2025 | 04:06 MYT
Menurut S&P Global, pertumbuhan ekonomi global kekal berdaya tahan walaupun terdapat kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat baru-baru ini. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi golbal kekal berdaya tahan walaupun terdapat kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat baru-baru ini, dengan impak yang terhad kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di luar rantau Asia Pasifik (APAC), menurut S&P Global Ratings.

Ringkasan AI
  • 1, Pertumbuhan ekonomi global kekal stabil walaupun terdapat kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat, dengan impak yang lebih ketara terhadap negara-negara yang berdekatan.
  • Bank pusat di Amerika Latin dijangka melonggarkan dasar mereka berikutan kadar dasar semasa yang masih melebihi tahap neutral.
  • Gabungan mata wang EM yang kukuh dan harga minyak yang rendah dijangka membantu mengurangkan inflasi di kebanyakan negara pasaran pesat membangun.

Katanya walaupun kenaikan tarif pada 2 April telah mewujudkan kebimbangan mengenai aliran perdagangan global, kebanyakan pasaran pesat membangun (EM) dijangka dapat menghadapi perubahan tersebut dengan gangguan yang minimum -- kecuali negara-negara yang berhampiran dengan AS seperti Mexico.
"Impak tarif terhadap pertumbuhan KDNK agak rendah di luar rantau APAC.
"Ini kerana kebanyakan negara mengalami defisit perdagangan dengan AS, justeru, tarif yang dikenakan pada 2 April adalah sebanyak 10 peratus," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Katanya bank-bank pusat di Amerika Latin dijangka melonggarkan dasar mereka dengan lebih ketara berdasarkan kadar dasar semasa mereka yang kekal melebihi tahap neutral, katanya.
"Kenaikan nilai mata wang EM berbanding dolar AS baru-baru ini memberi lebih ruang kepada bank pusat untuk menurunkan kadar di negara-negara di bawah liputan kami.
"Gabungan mata wang EM yang kukuh dan harga minyak yang rendah akan membantu mengurangkan inflasi di kebanyakan EM berikutan negara-negara ini pada amnya merupakan pengimport bersih tenaga," katanya.
-- BERNAMA
#kenaikan tarif #Amerika Syarikat #KDNK #S&P Global Ratings