BISNES
Kerajaan kaji cukai pengendali Uber, GrabCar
Menurut Johari, tindakan ini adil bagi golongan yang mengaktifkan ekonomi (pemandu) serta mereka yang menyediakan platform untuk ekonomi (Uber dan GrabCar). - Gambar fail
Kerajaan akan mengkaji mekanisme percukaian bersesuaian terhadap pengendali platform kereta sewa Uber dan GrabCar yang menjana sekitar 25 peratus keuntungan menerusi perkhidmatan pengangkutan awam.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata percukaian baharu itu terpakai kepada pengendali kedua-dua perkhidmatan berkenaan yang beroperasi menerusi aplikasi mudah alih.
"Kita (kementerian) tidak hendak kenakan cukai kepada pemandu teksi, tetapi kita hendak tengok bagaimana kementerian boleh laksana pencukaian ke atas platform (Uber dan Grabcar) ini... sebab pemandu juga perlu membayar 25 peratus kepada platform ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Komuniti 1Malaysia dan Kembara Jalur Gemilang bagi kawasan parlimen Titiwangsa, Setiawangsa dan Wangsa Maju 2016, di sini hari ini.
Katanya lagi, kerajaan juga perlu memikirkan cara untuk mewajibkan Uber dan GrabCar berdaftar sebagai syarikat.
Ia bertujuan untuk meneliti jumlah cukai yang perlu dikenakan mengikut kadar pendapatan.
"Kita tengah fikirkan untuk mewajibkan platform ini didaftarkan... jadi kita boleh tengok berapa banyak pendapatan mereka, dan dari sini berapa cukai yang mereka perlu bayar," katanya.
Menurutnya tindakan ini adil bagi golongan yang mengaktifkan ekonomi (pemandu) serta mereka yang menyediakan platform untuk ekonomi (Uber dan GrabCar).
"Kita tidak boleh kenakan cukai ke atas pemandu kerana mereka juga cukup-cukup makan...tidak adil bagi mereka," katanya.
Selain itu, Johari berkata kementerian itu tiada halangan untuk membantu pemandu teksi turut menikmati hasil pengembangan ekonomi negara meski pun bersaing dengan pasaran ekonomi digital (Uber dan GrabCar).
"Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka, jadi kita tidak boleh hentikan ekonomi digital memasuki pasaran ekonomi kita... macam Uber dan GrabCar, kita tidak boleh tahan mereka kerana sistem ini diterima pakai di seluruh dunia.
Dalam pada itu, katanya kerajaan akan meneruskan pembinaan laluan Mass Rapid Transit (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) serta menambah perkhidmatan komuter bagi mengimbangi keperluan masyarakat, terutama di bandar.
#GrabCar
#JOHARI ABDUL GHANI
#Menteri Kewangan Kedua
#SPAD
#The Land Public Transport Commission
#Uber