KUALA LUMPUR: Kerajaan dan kumpulan perniagaan Sri Lanka amat teruja dengan tahap pelaburan dari Malaysia dan akan cuba memudahcara pelaburan-pelaburan dari Malaysia dengan dasar-dasar yang lebih konsisten dan mesra pelabur, kata Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Zambry yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke ibu negara Sri Lanka, Colombo, dari 9-12 Okt, berkata perkara itu adalah antara intipati perbincangan forum bertajuk "CEO Business Forum - An Insightful Evening on Taking Business Beyond Trade", yang dihadirinya sebagai panel kehormat anjuran Sri Lanka - Malaysia Business Council (SLMBC).

Dalam forum itu, beliau memaklumkan ahli perniagaan Malaysia dan Sri Lanka mengenai iltizam kedua-dua kerajaan untuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Sri Lanka yang bakal melonjakkan tahap perdagangan dua hala.

"Saya turut menyuntik semangat bahawa komuniti perniagaan Malaysia bersedia untuk memainkan peranan penting dalam usaha mengukuhkan ekonomi Sri Lanka melalui pelaburan berkualiti yang mampu memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Sri Lanka.

"Dan saya percaya usaha seperti ini adalah satu bentuk kerjasama yang boleh dipertingkatkan terutamanya dalam usaha menarik lebih banyak peluang pelaburan untuk kedua-dua negara," katanya dalam catatannya menerusi akaun Facebook.

Sri Lanka sedang membina kembali ekonomi mereka rentetan krisis ekonomi yang melanda negara tersebut pada tahun lepas melalui reformasi ekonomi secara menyeluruh.

-- BERNAMA