[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
BISNES

Kerajaan lulus insentif cukai modal teroka pacu pelaburan pemula niaga - Amir Hamzah

Bernama 24/06/2025 | 05:16 MYT
Amir Hamzah berkata kesemua langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh ekosistem modal teroka. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan insentif cukai baharu bagi modal teroka (VC) yang turut merangkumi kadar cukai konsesi sebanyak lima peratus bagi tempoh sehingga 10 tahun untuk entiti dana yang layak dan melabur sekurang-kurangnya 20 peratus dalam syarikat pemula niaga tempatan.

Ringkasan AI
  • Kerajaan meluluskan insentif cukai baharu untuk modal teroka termasuk kadar cukai konsesi 5% sehingga 10 tahun bagi dana yang melabur sekurang-kurangnya 20% dalam syarikat pemula niaga tempatan.
  • Syarikat pengurusan modal teroka dan ekuiti persendirian yang berdaftar dengan SC layak menikmati kadar cukai 10%, tertakluk kepada syarat tertentu.
  • Insentif turut diperluas kepada LLP tempatan, bertujuan memperluas asas pelabur dan memperkukuh ekosistem modal teroka negara.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata insentif baharu itu juga melibatkan kadar cukai sebanyak 10 peratus bagi syarikat pengurusan modal teroka dan ekuiti persendirian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
"Insentif cukai baharu ini juga diperluaskan kepada perkongsian liabiliti terhad (LLP) di peringkat dalam negara, sekali gus dapat memperluaskan lagi asas pelabur bagi memperdalamkan dana modal untuk kalangan syarikat pemula niaga tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama selepas Khazanah Nasional Bhd dan anak syarikatnya, Jelawang Capital, mengumumkan pemilihan lima firma VC pertama di bawah Program Pengurus Dana Baharu dan Inisiatif Pengurus Dana Serantau pada majlis diadakan di sini, hari ini.
Kesemua langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh ekosistem modal teroka.
-- BERNAMA
#insentif cukai modal teroka #Amir Hamzah Azizan #pelaburan pemula niaga #Kementerian Kewangan