Kerajaan negeri cadang wujudkan Suruhanjaya Tenaga Sabah, ambil alih SESB

Astro Awani
Ogos 25, 2022 12:51 MYT
Selepas penubuhan itu, kerajaan negeri akan mengambil alih SESB tanpa sebarang liabiliti apabila Pelan Transformasi SESB siap dalam tempoh lima ke tujuh tahun dari sekarang.
KUALA: Kerajaan negeri mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah dan mengambil alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), kata Datuk Seri Hajiji Noor.
Tegas Ketua Menteri Sabah itu, kerajaan negeri perlu terlebih dahulu menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah sendiri supaya kuasa kawal selia bekalan elektrik dapat dipindahkan daripada Kerajaan Persekutuan.
Katanya, selepas penubuhan itu, kerajaan negeri akan mengambil alih SESB tanpa sebarang liabiliti apabila Pelan Transformasi SESB siap dalam tempoh lima ke tujuh tahun dari sekarang.
"Sehubungan itu, kerjasama dan koordinasi daripada semua pihak penting bagi memastikan proses perundangan berjalan lancar," katanya.
Terdahulu, Hajiji bersama Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa di Wisma Sumber Asli di sini pada Khamis.
Dalam mesyuarat pertama berkaitan pengambilalihan badan tenaga dan SESB kepada kerajaan Sabah, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bersetuju dan akan membawa cadangan pengambilalihan itu dalam dua peringkat di Kabinet.
Dalam perkembangan lain, Hajiji turut berbincang mengenai cadangan projek dan program yang dirancang di Sabah di bawah Pelan Pembangunan
Sementara itu, Ketua Menteri turut membincangkan cadangan program dan projek yang akan dilaksanakan di Sabah di bawah Pelan Pembangunan Penjanaan Bekalan Tenaga Sabah (2022-2041).
Beliau berkata, kerajaan negeri mencadangkan Projek Loji Janakuasa Kitaran Gabungan 100 megawatt yang telah ditenderkan dan dibina di Kimanis yang mempunyai sumber gas yang mencukupi.
Katanya, kerajaan negeri turut menyokong permohonan baharu hidro Sabah bagi cadangan pembangunan loji hidroelektrik 170 Megawatt di Sungai Maligan dan Hulu Sungai Padas, Sipitang yang telah dibentang dan diluluskan oleh Kabinet Sabah.
Sementara itu, Hajiji turut mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bersama Mustapa mengenai penyerahan pengurusan dan kawalan sumber gas negeri.
Beliau berkata langkah kerajaan negeri mengambil alih pengurusan dan kawalan bekalan gas di sabah adalah selaras dengan pelbagai inisiatif berkaitan yang telah dirancang dan dilaksanakan di negeri itu.
"Usaha ini terlibat secara langsung dalam industri minyak dan gas yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyat Sabah.
"Malah, kerajaan negeri komited memastikan industri ini terus berkembang di Sabah menerusi polisi-polisi tertentu tanpa mengabaikan keselamatan dan perkhidmatan kepada pengguna selain tiada gangguan operasi sepanjang tempoh transisi," katanya.
#SESB #Suruhanjaya Tenaga Sabah #ambil alih SESB #Hajiji Noor