Skip to main content

Bisnes

Kerajaan perkukuh sokongan bantu startup tembusi pasaran

Menteri Ekonomi, Akma Nasir (kiri) bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang (kanan) pada sesi dialog Fireside: From Action Plan to Activation sempena KL20 The Flagship 2026 di The Campus, Ampang hari ini. - Gambar Astro AWANI.
Menteri Ekonomi, Akma Nasir (kiri) bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang (kanan) pada sesi dialog Fireside: From Action Plan to Activation sempena KL20 The Flagship 2026 di The Campus, Ampang hari ini. - Gambar Astro AWANI.

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan menyediakan dana seperti RM1.2 bilion untuk sektor semikonduktor dan RM450 juta melalui Jelawang Capital dan Dana Perintis bagi menyokong startup tempatan.
  • Startup masih menghadapi cabaran mendapatkan pelanggan, menembusi pasaran, serta kesukaran memperoleh pembiayaan daripada institusi kewangan komersial.
  • Kementerian menekankan keperluan kerjasama antara kerajaan, institusi penyelidikan dan sektor swasta untuk memastikan pembangunan dan pengkomersialan teknologi lebih berkesan.

KUALA LUMPUR: Dana kerajaan tersedia, namun syarikat pemula atau startup tempatan masih berdepan kesukaran mendapatkan pelanggan dan mengembangkan perniagaan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, cabaran utama bukan sekadar menghasilkan teknologi baharu, tetapi memastikan produk mampu menembusi pasaran.

Menurutnya, institusi kewangan komersial juga lebih berhati-hati memberikan pembiayaan kepada startup yang belum mempunyai rekod perniagaan kukuh.

Pada masa sama, bakal pelanggan mahu melihat keupayaan syarikat beroperasi pada skala besar sebelum menggunakan produk atau perkhidmatan mereka.

“Mereka menghasilkan penyelesaian yang sangat baik, tetapi masalahnya ialah bagaimana untuk mengembangkan operasi.

“Mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan komersial juga bukan mudah. Pelanggan pula mahu melihat keupayaan operasi pada skala besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog Fireside: From Action Plan to Activation sempena KL20 The Flagship 2026 di The Campus, Ampang, hari ini.

Akmal berkata, Belanjawan 2027 menyediakan RM1.2 bilion bagi sektor semikonduktor, selain RM450 juta menerusi Jelawang Capital dan Dana Perintis.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan dana kerajaan sahaja tidak mencukupi, sekali gus memerlukan lebih banyak penyertaan pelabur modal teroka swasta.

Justeru, Kementerian Ekonomi berusaha menyelaraskan pendekatan antara kementerian supaya mekanisme pembiayaan dan sokongan startup dapat dilaksanakan secara lebih bersepadu.

Dalam sesi sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang mengakui pembiayaan tidak konsisten turut menjadi cabaran kepada pembangunan startup teknologi mendalam atau deep tech.

Menurutnya, sektor itu memerlukan sokongan berterusan kerana proses penyelidikan, pengujian dan pengkomersialan mengambil masa panjang.

“Kita mempunyai tabiat yang sangat buruk. Tahun ini kita memberikan pembiayaan mencukupi, tahun berikutnya tidak, kemudian tahun selepas itu kita kembali memberikan bantuan.

“Pendekatan seperti ini tidak membantu melahirkan syarikat pemula yang baik, khususnya dalam bidang teknologi mendalam,” katanya.

Bagi menangani cabaran tersebut, Lih Kang menekankan keperluan menghubungkan institusi penyelidikan, kerajaan dan industri sejak peringkat awal pembangunan teknologi.

Katanya, penyelidikan perlu mengambil kira keperluan pengguna dan industri supaya produk yang dihasilkan mempunyai potensi untuk dikomersialkan.

Beliau berkata, MOSTI turut menyediakan sokongan pembiayaan awal melalui agensi seperti Cradle dan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).

Selain itu, Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) membolehkan startup menguji produk dalam persekitaran sebenar dengan kelonggaran kawal selia tertentu.

Namun, Lih Kang menegaskan usaha mengembangkan operasi memerlukan kerjasama kementerian lain serta sektor swasta, bukan bergantung kepada MOSTI semata-mata.

Beliau berkata, kejayaan startup akhirnya perlu dinilai berdasarkan penggunaan teknologi oleh industri, keupayaan memperoleh pelanggan dan manfaat ekonomi yang dihasilkan.

Must Watch Video

Advertisement