KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempunyai matlamat khusus untuk mencapai keseimbangan dalam dasar monetari dan dasar fiskal.

Pakar Ekonomi, Prof Emeritus Barjoyai Bardai berkata, setiap langkah yang diambil juga harus meletakkan keutamaan terhadap kesejahteraan rakyat di masa depan.

"Kita kena ada satu matlamat khusus misalnya untuk tahun 2023, apakah kadar tukaran yang kita nak capai?

"Adakah kita mahu ringgit mencapai RM4 bersamaan 1 AS dolar?Kkita nak tahu berapa banyak reserve daripada perdagangan yang kita akan dapat, kita nak cuba meningkatkan eksport dan mengurangkan import dengan menggunakan penggantian import dan sebagainya.

"Kita nak cuba memastikan bahawa kerajaan mempunyai belanjawan yang seimbang, menurunkan defisit dalam belanjawan dalam tempoh tiga tahun dan di masa yang sama, kita nak memastikan rakyat sejahtera.

"Ini sebenar tujuan, apa yang kita lakukan hanyalah perantara, yang penting akhirnya rakyat mesti lebih sejahtera dan kebajikan lebih terpelihara di masa akan datang," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam program Pantau Kerajaan Baharu, pada Jumaat.

Rakyat ujarnya lagi, seharusnya tidak berasa tertekan atau tersepit disebabkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kerana Bank Negara sudah mempunyai polisi yang konsisten namun penjelasan yang lebih mudah perlu diberikan untuk membolehkan ia difahami orang awam secara menyeluruh.

Tambahnya, pengalaman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan selama tujuh tahun sebelum ini, pasti memberi kelebihan dalam merencana belanjawan yang bersifat holistik tanpa mengorbankan mana-mana kepentingan.

"Anwar seorang yang berpengalaman dalam bidang mengurus kerana beliau pernah menjadi Menteri Kewangan selama tujuh tahun jadi beliau fikir ada beberapa pilihan instrumen oleh Bank Negara boleh sama ada mempercepatkan kesan penurunan inflasi ataupun kesan instrumen pilihan berbanding dengan cuba meningkatkan OPR, boleh digunakan instrumen lain seperti instrumen untuk mengehadkan pinjaman atau pengeluaran kredit oleh bank-bank komersial.

"Bank Negara mempunyai peranan kerana mereka menyimpan reserve tunai dan mereka mengawal kadar pertukaran, ini merupakan satu komponen penting dalam menentukan kesan inflasi yang kita akan rasai pada tahun ini kerana kita banyak mengimport makanan, lebih RM65 bilion kita import barang makanan, kalau kita boleh mengawal kadar pertukaran untuk menjadi lebih baik, kita akan dapat kurangkan kesan inflasi," ujarnya.

Terdahulu dalam satu sidang media, Anwar berkata BNM mempunyai hak dan kuasa dalam membuat keputusan berkaitan dengan OPR tanpa perlu membabitkan campur tangan kerajaan bagi memastikan kestabilan ekonomi negara.

Pantau Kerajaan Baharu | Mengimbangi dasar monetari, mengukuh dasar fiskal