Kerajaan perlu belanja RM60 juta jika PSC di KLIA, KLIA2 tidak sama

Bernama
Disember 17, 2017 20:40 MYT
Mulai 1 Jan tahun depan, kadar PSC bagi semua destinasi antarabangsa dari mana-mana lapangan terbang di Malaysia ialah sebanyak RM73. - Gambar fail
Kerajaan terpaksa membelanjakan RM60 juta dalam bentuk subsidi sekiranya caj perkhidmatan penumpang (PSC) bagi penerbangan antarabangsa jarak jauh antara KLIA dan klia2 tidak diselaraskan.
Sebaliknya, subsidi itu sepatutnya digunakan untuk perkara lain yang boleh memanfaatkan rakyat, kata Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Jen (B) Tan Sri Abdullah Ahmad, dalam satu temu bual.
Beliau berkata penumpang yang menggunakan lapangan terbang itu sepatutnya membayar caj yang tinggi dan bukan rakyat, yang ada di antaranya tidak memasuki pesawat atau menggunakan penerbangan.
"PSC kita adalah antara yang paling rendah di dunia," katanya dalam satu kenyataan yang mengandungi petikan wawancara mengenai PSC.
Mulai 1 Jan tahun depan, kadar PSC bagi semua destinasi antarabangsa dari mana-mana lapangan terbang di Malaysia ialah sebanyak RM73. Pada masa ini, kadar PSC yang dikenakan bagi destinasi antarabangsa bukan ASEAN dari klia2 ialah RM50.
Beliau berkata MAVCOM tidak bersetuju sama sekali dengan tindakan AirAsia yang mengenakan yuran penumpang sebanyak RM3 dan menyatakannya sebagai bayaran KLIA pada setiap tiket yang ditempah sejak mereka berpindah ke klia2 dari LCCT sejak 2014.
Beliau berkata adalah tidak beretika bagi syarikat penerbangan mengenakan bayaran itu tetapi menggunakan nama pihak lain.
Mengenai dakwaan PSC menjejaskan perjalanan penumpang, beliau berkata, dari pengalaman negara-negara lain, menaikkan atau menurunkan PSC tidak menjejaskan pergerakan penumpang tetapi keadaan keselamatan dan keselamatan di destinasi penumpang yang secara langsung mempengaruhi perjalanan udara.
Oleh itu, katanya, agak mengelirukan apabila syarikat-syarikat penerbangan tertentu di negara ini yang mendakwa keuntungan mereka terjejas oleh PSC yang lebih tinggi, apabila jumlah trafik penumpang MAHB pada November menunjukkan peningkatan.
Mengenai aduan oleh syarikat penerbangan itu bahawa PSC akan menjejaskan kepentingan penumpang, beliau berkata, ia hanya alasan kerana mereka lebih berminat dengan perniagaan sendiri dan MAVCOM yang melindungi hak pengguna penumpang udara.
MAVCOM ditubuhkan pada Mac tahun lepas untuk mengawal selia hal-hal ekonomi dan komersial yang berkaitan dengan penerbangan awam di Malaysia, termasuk hak pengguna.
Beliau berkata subsidi kepada MAHB perlu kerana pengendali lapangan terbang itu telah menyelenggara lapangan terbang sejak bertahun-tahun dengan dana yang tidak mencukupi.
Abdullah berkata secara purata, hanya empat peratus penumpang yang akan menanggung kos tambahan apabila kadar PSC meningkat kepada RM73 daripada RM50 tahun depan dan "mereka mampu".
Walaupun PSC akan diselaraskan, MAVCOM memastikan bahawa caj lapangan terbang di Malaysia masih kekal antara yang terendah di rantau ini.
PSC bagi penerbangan domestik ialah RM11.
Kali terakhir Malaysia menyemak semula PSC ialah pada 2011, katanya.
Bagaimanapun, MAVCOM dapat mengurangkan caj perjalanan Asean kepada RM35 daripada RM65 kerana kajian oleh suruhanjaya itu menunjukkan keluarga kelas menengah Malaysia hanya mampu bercuti di rantau ini.
Langkah untuk menyamakan PSC bagi penerbangan antarabangsa juga dialu-alukan oleh negara-negara dan kumpulan lain seperti Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa yang sangsi tentang Malaysia mempunyai dua lapangan terbang antarabangsa dengan PSC yang berbeza, katanya.
Malaysia kini mematuhi keperluan penerbangan yang meletakkan negara ini pada kedudukan yang baik dalam kalangan kumpulan penerbangan global, katanya.
Beliau menggesa orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan pihak tertentu yang menyatakan langkah menyelaraskan PSC tidak baik apabila sebenarnya "ia yang terbaik untuk kita semua."
Sebelum ini, PSC bagi Asean dan destinasi antarabangsa di Eropah dan Amerika Syarikat misalnya adalah sama pada RM65, " yang kami rasa tidak adil, jadi kami telah menurunkannya," katanya.
Akibatnya, kira-kira 12.5 juta penumpang mendapat manfaat daripada PSC yang lebih rendah bagi Asean.
Beliau berkata, caj yang lebih tinggi yang berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan akan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan di lapangan terbang.
-- BERNAMA
#Caj Perkhidmatan Penumpang #KLIA #KLIA2 #mavcom #PSC #Tan Sri Abdullah Ahmad