KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberikan perhatian kepada penyusunan semula ekonomi yang dimulakan dengan Rancangan Malaysia Ke-12, menurut MARC Rating Corp Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Jamaludin Nasir berkata penyusunan semula ekonomi perlu dilaksanakan untuk rakyat berhijrah daripada ekonomi semasa iaitu pada tahap rendah dan banyak bergantung kepada kos pengeluaran lebih rendah dan buruh asing, kepada ekonomi peringkat pertengahan dan tinggi.

"Kita perlu menempatkan semula sumber untuk memastikan kita meningkatkan rantaian nilai ekonomi daripada ekonomi kos rendah kepada ekonomi pertengahan dan lebih tinggi dengan menambah baik pengeluaran tempatan, penyelidikan dan pembangunan serta bakat, sejajar dengan bagaimana kita berjaya menarik syarikat yang berkualiti ke negara ini.

"Penyusunan semula (ekonomi) sewajarnya dilaksanakan pada masa ini ketika rakyat mula mengambil berat mengenai ekonomi negara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Jadual Liga Pengurus Utama MARC Rating 2021 di sini pada Khamis.

Mengenai Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Oktober, beliau berkata kerajaan juga perlu memberi tumpuan untuk melaksanakan subsidi bersasar supaya wang tersebut boleh digunakan untuk menyokong pertumbuhan negara.

Berasaskan tahunan, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM60 bilion hingga RM80 bilion untuk subsidi.

Mengulas mengenai unjuran negara, beliau berkata memandangkan ringgit semakin merosot berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) yang ketika ini melebihi penanda aras 4.5, dijangkakan, terdapat kebimbangan mengenai inflasi diimport pada tahun depan.

Ia berikutan negara banyak bergantung kepada makanan import yang menyumbang lebih 50 peratus daripada rantaian bekalan makanan, katanya.

"Sekuriti makanan akan menjadi isu. Justeru, kami menjangkakan ekonomi kita akan merosot, berkembang pada kadar lebih perlahan di bawah 5.0 peratus pada 2023 berbanding peningkatan keseluruhan pada tahun ini.

"Walaupun pertumbuhan lebih rendah, ia merupakan pertumbuhan yang positif kepada Malaysia, lebih baik berbanding negara lain yang mungkin mencatatkan pertumbuhan negatif," katanya.

Jamaludin turut menjangkakan Bajet 2023 akan terus menjadi bajet pengembangan dengan tumpuan untuk melahirkan lebih banyak pekerjaan dan menambah baik kemahiran dan kemampuan bakat tempatan.

Mengenai prestasi bank-bank pelaburan di negara ini pada tahun ini, beliau berkata kebanyakannya berdepan cabaran disebabkan kadar faedah lebih tinggi.

"Malah, terdapat janji niaga yang lebih kecil kerana kebanyakan pengeluar berpotensi yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Susulan kenaikan kadar faedah Fed yang terkini, kami turut meramalkan Bank of England akan menaikkan kadar faedahnya sebanyak 50 mata asas lagi," kata Jamaludin.

-- BERNAMA