Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
BISNES

Kerajaan terima kira-kira RM20.71 bilion penyelesaian tunai 1MDB sehingga kini - MOF

Bernama 14/10/2025 | 23:00 MYT
Kerajaan dan 1MDB telah mencapai penyelesaian dengan tiga institusi kewangan iaitu Goldman Sachs berjumlah AS$3.9 bilion (RM16.48 billion), AmBank Group (RM2.83 bilion) dan JP Morgan (Switzerland) Ltd sebanyak RM1.4 bilion. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga kini telah mencapai penyelesaian dengan tiga institusi kewangan iaitu Goldman Sachs berjumlah AS$3.9 bilion (RM16.48 billion), AmBank Group (RM2.83 bilion) dan JP Morgan (Switzerland) Ltd sebanyak RM1.4 bilion.

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa memaklumkan, kesemua hasil penyelesaian tunai daripada ketiga-tiga institusi kewangan berkenaan telah diterima sepenuhnya dan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset di bawah kendalian MOF.

"Pada 11 Okt 2023, Goldman Sachs Group Inc. telah memfailkan suatu Permohonan Timbang Tara di London Court of International Arbitration (LCIA) terhadap Kerajaan Malaysia yang berbangkit daripada pertikaian berkaitan obligasi pihak-pihak di bawah Perjanjian Penyelesaian yang telah dimeterai pada 18 Ogos 2020 oleh Kerajaan Malaysia, 1MDB dan Goldman Sachs Group Inc. (Prosiding Timbang Tara).

"Pada masa ini, Pasukan Perundangan Kerajaan Malaysia yang terdiri antara lain, daripada Jabatan Peguam Negara dan peguam-peguam Inggeris yang dilantik sedang mengendalikan Prosiding Timbang Tara tersebut.

"Memandangkan pihak-pihak dalam Prosiding Timbang Tara ini adalah terikat dengan obligasi kerahsiaan yang ketat, maka sebarang maklumat terperinci berhubung Prosiding Timbang Tara ini tidak dapat didedahkan pada masa ini," menurut kementerian.

Kementerian menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai status pemulihan aset dalam skandal 1MDB.

-- BERNAMA


#1MDB #Goldman Sachs #Kementerian Kewangan #Skandal 1MDB