KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan strategi 'debt monetisation' atau pengewangan hutang sebagai antara cara dalam meningkatkan pendapatannya, kata Kementerian Kewangan (MoF).

Malah, ini berikutan permintaan pelabur terhadap sekuriti kerajaan masih kukuh disokong oleh kecairan pasaran domestik yang mencukupi di pasaran dalam lingkungan RM158.7 bilion, katanya.

"Kaedah pengewangan hutang itu juga akan menjejaskan keyakinan pelabur dan seterusnya mempercepat aliran keluar dana serta berpotensi meningkatkan kos pembiayaan kerajaan," kata MoF dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Ini bagi menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai sama ada kerajaan pernah mempertimbang strategi pengewangan hutang tersebut atau kaedah menjual bon kerajaan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai satu cara untuk meningkatkan lagi pendapatan.

MoF juga menegaskan bahawa program pinjaman tahunan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan berdasarkan kepada keperluan untuk membiayai semula hutang yang matang dan defisit fiskal.

Bagi tempoh 2020 hingga 2022, jumlah pinjaman kerajaan adalah tinggi bagi menyediakan sokongan fiskal dan mempercepat pemulihan ekonomi pasca pandemik.

"Dalam hal ini, kerajaan melaksanakan strategi pembiayaan secara berhemat dengan mematuhi perundangan berkaitan hutang yang telah ditetapkan," katanya.

Jelas MoF, strategi pembiayaan yang dilaksanakan termasuk memberi tumpuan kepada terbitan dalam negara untuk menyokong pasaran bon tempatan di samping mengurangkan kos pinjaman dan pendedahan terhadap risiko kadar tukaran mata wang asing.

Selain itu, terbitan instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) juga dilaksanakan secara tender terbuka yang membolehkan pelabur berurus niaga dengan yakin dan menggalakkan dagangan sekuriti kerajaan pada harga kompetitif.

Kementerian itu berkata BNM juga merupakan antara pemegang kertas hutang hutang kerajaan dalam usaha memenuhi objektif dan mandat yang termaktub di dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 (Akta 701).

Menurutnya, pada akhir 2022, pemegangan BNM dalam kertas hutang kerajaan yang merangkumi MGS, MGII dan bil perbendaharaan telah meningkat kepada 6.3 peratus berbanding 2.5 peratus pada akhir 2021.

"Pembelian sekuriti kerajaan oleh BNM merupakan sebahagian daripada operasi dasar monetari negara dalam menguruskan kecairan pasaran domestik untuk memastikan kestabilan pasaran apabila mengalami keadaan turun naik yang berlebihan atau kemerosotan mudah tunai," kata MOF.

-- BERNAMA