[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
BISNES

Kerajaan tingkat skala sokongan kepada PMKS menerusi inisiatif, perkongsian strategik GLC

Bernama 27/11/2025 | 14:45 MYT
Amir Hamzah semasa Persidangan Tinjauan Ekonomi Negara (NEOC) hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kerajaan mengutamakan usaha untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai melalui perkongsian strategik dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


Ringkasan AI
  • Kerajaan mengutamakan bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui perkongsian strategik dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai.
  • Sokongan kerajaan termasuk intervensi bersasar seperti sistem logistik, pensijilan halal, dan akses pasaran eksport untuk PMKS.
  • Sektor pembiayaan swasta berperanan penting dalam membolehkan usahawan berinovasi dengan cepat, sementara Malaysia bergerak ke arah ekonomi inovatif dengan mengamalkan kreativiti dan teknologi.


Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan juga melonjakkan skala sokongan melalui inisiatif seperti dana pelaburan strategik, penambahan modal kerja, pembiayaan projek dan program pembangunan kapasiti.

"Kerajaan akan menyokong PMKS melalui intervensi bersasar seperti sistem logistik, pemudahan pensijilan termasuk pensijilan halal, serta memudah cara untuk akses yang lebih baik kepada pasaran eksport," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Tinjauan Ekonomi Negara (NEOC) di sini, hari ini.

Beliau berkata di samping sokongan kerajaan, sektor pembiayaan swasta juga melakukan peranan penting dalam membolehkan usahawan berinovasi dan meningkatkan perolehan pada kadar yang jauh lebih cepat berbanding menambah kos dan sumber baharu.

Amir Hamzah yang juga menjalankan fungsi dan tugas Menteri Ekonomi berkata institusi pembiayaan perlu terus berinovasi dalam membangunkan penyelesaian berkesan dan pendekatan pengurusan risiko yang seiring dengan perubahan pesat dalam perniagaan dan teknologi.

Pada masa sama, Malaysia dapat bergerak maju dengan yakin ke arah menjadi ekonomi yang benar-benar dipacu inovasi dengan mengamalkan kreativiti dan kerjasama serta menerima guna teknologi di samping berpandukan nilai yang kuat dan tujuan kemanusiaan, katanya.

"Bersama-sama, kita dapat membentuk masa depan apabila kemajuannya bersifat inklusif, mampan dan unik mengikut acuan kita sendiri," katanya.

Amir Hamzah berkata teknologi bukan sahaja memperluas capaian pasaran dan keterlihatan PMKS malah juga menyerlahkan lagi potensi keusahawanan mereka.

-- BERNAMA




#GLC #pelaburan #usahawan #PMKS