KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan akan berusaha mengurangkan kadar defisit fiskal negara kepada 4.3 peratus pada tahun ini, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Dalam hantaran di Facebook beliau malam tadi, Fahmi berkata, defisit fiskal telah berjaya dikurangkan daripada 5.6 peratus pada 2022 kepada lima peratus tahun lepas. 

Beliau yang juga jurucakap kepada kerajaan berkata, Malaysia mencatat pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) tiga peratus pada suku keempat 2023 walaupun berdepan persekitaran luar yang sangat mencabar pada tahun itu.

Fahmi berkata, untuk memastikan negara berada dalam landasan ekonomi yang tepat, tiga asas ekonomi iaitu pelaburan perlu diutamakan selain peluang pekerjaan baharu perlu diberi fokus dan harga barang hendaklah terkawal.

“Kalau lihat pada ketiga-tiga asas ini, insya-Allah kita di landasan ekonomi yang tepat… kadar pengangguran menurun, inflasi menurun dan FDI (pelaburan langsung asing) meningkat," kata beliau.

Dalam hantaran sama Fahmi turut berkongsi infografik pencapaian perkembangan ekonomi negara bagi suku keempat 2023 yang antara lain menyaksikan jumlah FDI merekodkan pelaburan RM17.1 billion.
- BERNAMA