KUALA LUMPUR: Kerjasama antara institusi akademik dan industri membuka ruang untuk meneroka peluang baharu dalam ekonomi halal global yang kini berkembang melangkaui sektor makanan dan minuman, kata Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI) Da,tuk Jefridin Atan.
Beliau berkata, perkembangan industri halal merangkumi farmaseutikal, kosmetik, kewangan Islam, fesyen sopan, logistik, pelancongan mesra Muslim dan perdagangan elektronik.
“Perkembangan ini menjadikan ekonomi halal semakin penting dalam perbincangan mengenai perdagangan antarabangsa, inovasi, keusahawanan dan pembangunan ekonomi.
“Permintaan terhadap produk serta perkhidmatan halal turut berkait dengan perhatian pengguna terhadap keselamatan, kebersihan, kualiti dan integriti sepanjang rantaian bekalan,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Islam dan Ekonomi Halal keempat (ICIHES) di Chonburi, Thailand.
ICIHES merupakan anjuran bersama LEGASI, Dana Endowmen Ekonomi Halal (DEEH) dan Burapha University International College, Chonburi, Thailand.
Bertemakan “Knowledge Beyond Borders, Prosperity Beyond Halal”, persidangan dua hari bermula Khamis (15 Okt) menghimpunkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, pembuat dasar, pengamal industri dan mahasiswa dari sembilan negara, bagi membincangkan perkembangan, cabaran serta peluang baharu ekonomi halal.
Jefridin berkata ICIHES yang dimulakan sejak 2023 turut memperluas wacana ilmiah mengenai ekonomi Islam dan halal.
“ICIHES menyediakan platform kepada peserta untuk berkongsi hasil penyelidikan, bertukar pandangan serta membina kerjasama strategik antara institusi akademik, industri dan pihak berkepentingan,” katanya yang merupakan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sementara itu, Pemegang Amanah DEEH, Prof Madya Dr Muhammad Hakimi Shafiai berkata, persidangan itu memberi tumpuan kepada bidang penyelidikan yang selaras dengan perubahan landskap ekonomi halal global.
“Antaranya, makroekonomi halal, inovasi digital dan teknologi kewangan halal, teknologi termaju dalam rantaian bekalan serta jaminan halal dan perkembangan sektor bukan makanan termasuk perubatan,” katanya yang juga Setiausaha Agung LEGASI.
Beliau berkata, perbincangan turut meliputi perbezaan peraturan dan piawaian halal antara negara, kelestarian serta pembangunan kemahiran, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bagi memenuhi keperluan tenaga kerja industri.
“Kerjasama sedemikian penting bagi memastikan hasil penyelidikan dapat menyumbang kepada penyelesaian isu sebenar industri serta membantu menghasilkan cadangan dasar ekonomi halal yang lebih berkesan,” katanya.
Muhammad Hakimi berkata persidangan itu turut membuka ruang mengeratkan hubungan akademik Malaysia-Thailand melalui perkongsian pengalaman dan pendekatan penyelidikan bagi menangani isu ekonomi halal yang semakin kompleks.
“Kerjasama rentas negara ini berpotensi menggalakkan perkongsian pengalaman dan pendekatan penyelidikan bagi menangani isu ekonomi halal yang semakin kompleks,” katanya.
Persidangan dua hari itu berlangsung secara fizikal dan dalam talian, dengan program hari pertama di Chonburi sebelum diteruskan di Universiti Burapha esok.
Selain Malaysia dan Thailand, negara yang mengambil bahagian ialah Indonesia, Singapura, Jepun dan Filipina, manakala peserta dari India, Pakistan dan Nigeria menyertainya secara dalam talian.
-- BERNAMA