BUSINESS

Kerjasama antara jiran, lonjak keupayaan ASEAN - PM

Harits Asyraf Hasnan 04/04/2025 | 06:35 MYT
Menurut PM Anwar, keutamaan buat masa ini ialah untuk mengukuhkan dan memperbaharui sinergi ekonomi hatta mencerminkan komitmen untuk memupuk kerjasama yang kukuh antara Indonesia dan Malaysia. - Sumber foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan kerjasama semua negara jiran termasuk Indonesia bagi melonjakkan keupayaan negara sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan perdagangan di rantau Asia dan global.

Itu antara ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025 ketika menerima kunjungan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto di Perdana Putra, Putrajaya pada Jumaat.

“Kami memanfaatkan sepenuhnya hubungan erat persahabatan kedua-dua negara yang terjalin khususnya mengukuhkan lagi lebih banyak kegiatan perdagangan membabitkan pengusaha Indonesia dan Malaysia dalam pelbagai sektor terkait.

“Keutamaan kami pastinya mengukuhkan dan memperbaharui sinergi ekonomi hatta mencerminkan komitmen untuk memupuk kerjasama yang kukuh antara Indonesia dan Malaysia ke tahap lebih baik lagi di masa hadapan,” ujar beliau dalam perkongsian di media sosial.

Turut serta dalam pertemuan itu adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dalam perkongsian berasingan, Tengku Zafrul berkata mereka membincangkan strategi pengukuhan ekonomi serantau.

“Ketika ombak ekonomi global bergelora, suara ASEAN perlu lebih lantang.

“Dalam suasana global yang penuh ketidakpastian, perpaduan ASEAN bukan lagi satu pilihan, tapi keperluan,” katanya.

Justeru, Tengku Zafrul menyeru komuniti ASEAN untuk memperkukuhkan ekonomi serantau demi kemakmuran bersama.



#Anwar Ibrahim #ekonomi serantau #ASEAN25 #Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz