[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
BISNES

Kerjasama Rolls-Royce lonjak reputasi global UMW Aerospace

Naz Raseed 18/09/2025 | 07:45 MYT
Sebanyak 99% tenaga kerja terdiri daripada rakyat Malaysia dengan peluang kerjaya bernilai tinggi.
KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik bersama Rolls-Royce telah melonjakkan standard operasi UMW Aerospace, sekali gus mengukuhkan kredibiliti syarikat itu di pentas antarabangsa.


Ringkasan AI
  • UMW Aerospace raih kontrak RM1 bilion, bukti pengiktirafan global.
  • Kerjasama Rolls-Royce tingkatkan standard ketepatan & kecemerlangan operasi.
  • 99% tenaga kerja terdiri daripada rakyat Malaysia dengan peluang kerjaya bernilai tinggi.


Menurut Pengarah Urusan UMW Aerospace, Fariz Hashim, kerjasama tersebut bukan sahaja membuka peluang kepada pendedahan global, malah turut mencipta ruang untuk tenaga kerja profesional Malaysia berdiri seiring dengan negara-negara membangun lain.

“Rolls-Royce mencabar UMW Aerospace untuk mencapai tahap ketepatan, konsistensi dan kecemerlangan yang lebih tinggi, dan itu telah menaikkan tahap operasi kami (UMW Aerospace) secara menyeluruh.

"Kerjasama tersebut turut memberikan kami pengiktirafan global, tetapi yang lebih penting ia mewujudkan platform untuk jurutera dan juruteknik Malaysia menyerlah tidak kira di dalam negara mahupun luar negara,” katanya ketika ditemu bual dalam program AWANI Pagi bertajuk UMW Aerospace at 10: Malaysia’s Flight To The Global Stage.

Fariz turut menegaskan bahawa UMW Aerospace konsisten menerima pengiktirafan antarabangsa, termasuk kontrak kedua bernilai RM1 bilion pada 2022 serta pelbagai anugerah global.

“Kontrak RM1 bilion itu diberikan kurang dari sedekad selepas perjanjian pertama kami.

"Ia menjadikan UMW Aerospace sebagai syarikat pertama di Asia Tenggara yang memiliki keupayaan chemical milling berskala besar, mengukuhkan bukan sahaja UMW Aerospace, tetapi juga keseluruhan ekosistem aeroangkasa negara," katanya.

Dalam pada itu, sebagai sebuah konglomerat perindustrian dan automotif terkemuka Malaysia, katanya UMW Aerospace yakin negara memiliki semua aspek penting seperti bakat, infrastruktur dan aspirasi yang menjadi faktor utama pertumbuhan industri aeroangkasa.

Justeru, menurut Fariz, pelaburan berterusan dalam pembangunan kemahiran, teknologi terkini serta kelestarian amat penting bagi memperkukuh peranan UMW Aerospace dalam membentuk landskap industri tersebut.

Seiring misi menyokong penerbangan hijau, UMW Aerospace turut melaksanakan pelbagai inisiatif mampan termasuk penggunaan tenaga boleh diperbaharui, sistem penuaian air hujan, serta peluasan keupayaan pembuatan bernilai tinggi.

Fariz menambah, selain memberi tumpuan kepada pertumbuhan perniagaan, UMW Aerospace turut memainkan peranan sosial dengan menyediakan peluang pekerjaan, latihan dan pembangunan komuniti di fasiliti milik syarikat itu di Serendah, Selangor.

“Lebih 99% tenaga kerja kami terdiri daripada rakyat Malaysia.

"Kami meletakkan pelaburan besar dalam latihan, program latihan industri, dan laluan kerjaya yang memberi kemahiran kepada anak muda untuk cemerlang dalam bidang aeroangkasa.

"Sebagai sebuah kumpulan, kami juga melaksanakan pelbagai program libat urus komuniti untuk menyokong penduduk setempat di Serendah. Bermaksud kami bukan sekadar membina komponen untuk sektor penerbangan, tetapi juga membina masa depan,” jelas Fariz.

Tambah beliau, melalui kerjasama dengan universiti dan institusi TVET, UMW Aerospace berjaya melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta menyediakan pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat tempatan.

“Bakat adalah teras kepada semua yang kami lakukan. Kami bekerjasama dengan universiti dan institusi TVET seluruh Malaysia menjalankan program internship berstruktur, malah menawarkan pensijilan dalaman menerusi aero engine machining.

"Sejak 2022, sebanyak 31% daripada pelatih kami telah diserap sebagai pekerja sepenuh masa,” katanya.

Fariz turut menegaskan, industri aeroangkasa merupakan sektor bernilai tinggi yang menuntut ketepatan dan kepakaran, dan UMW Aerospace kini dalam misi bagi membina masa depan yang diiktiraf di peringkat global dan signifikan kepada negara.




#UMW Aerospace #UMW #TVET #rolls-royce #aeroangkasa