KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd melaporkan kerugian bersih sebanyak RM1.3 bilion bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2023 berbanding RM1.09 bilion pada tahun lepas, berikutan perbelanjaan korporat dan penghapusan urus niaga antara kumpulan.

Perolehan merosot kepada RM403.23 juta berbanding RM1.35 bilion pada tahun lepas manakala kerugian sesaham mencatatkan 34.88 sen daripada 29.34 sen.

Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2023, kumpulan mencatatkan perolehan sebanyak RM6.1 juta dengan kerugian kasar sebanyak RM56.4 juta, menurut syarikat perkhidmatan kejuruteraan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ia turut mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM104.2 juta pada suku keempat berbanding RM327.9 juta dalam tempoh sama pada 2022.

Mengenai prospek, Serba Dinamik berkata Lembaga Pengarah menjangka operasi kumpulan akan kekal mencabar pada 2023 berikutan ketidaktentuan ekonomi global dan cabaran semasa yang dihadapi syarikat dari perspektif kecairan.

"Dengan kumpulan diklasifikasikan sebagai syarikat PN17, Lembaga Pengarah berjanji untuk menyelesaikan isu semasa, termasuk pelan penstrukturan dan penyusunan semula, untuk kepentingan terbaik pihak berkepentingan," katanya.

-- BERNAMA