KUALA LUMPUR: Dasar Generasi Penamat (GEG) dijangka mengakibatkan kerugian sehingga RM346 juta kepada sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2040 sekiranya dilaksanakan, menurut kajian oleh firma penyelidikan Oxford Economics.

Laporan itu mendedahkan bahawa pelaksanaan dasar itu akan turut mengakibatkan kehilangan lebih 2,700 pekerjaan dalam ekonomi formal dan tambahan RM1.2 bilion dalam ketirisan cukai tahunan akibat perdagangan haram menjelang 2040.

Menurutnya nilai sebenar kerugian mungkin lebih besar kerana tidak mengambil kira sumbangan terbaharu industri vap (rokok elektronik) setelah industri itu disahkan di Malaysia.

"Kajian Oxford Economics menunjukkan bahawa mengharamkan vap boleh menjejaskan potensi sumbangan cukai sektor itu yang dianggarkan sebanyak RM1 bilion setahun," menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa pelaksanaan dasar GEG boleh menyebabkan pertumbuhan pasaran tembakau dan vap seludup kerana Malaysia adalah antara negara yang mempunyai masalah penyeludupan tembakau terbesar di dunia.

"Dianggarkan tambahan 1.2 bilion rokok seludup boleh didapati di pasaran pada setiap tahun menjelang 2030 jika langkah ini dilaksanakan, dalam senario pengguna yang terkesan dengan GEG bertukar kepada alternatif seludup, berbanding jika dasar GEG tidak dilaksanakan," menurut laporan itu.

Oxford Economics berkata walaupun dasar GEG adalah idea yang berani, analisis yang terperinci diperlukan mengenai potensi risiko, terutamanya apabila terdapat ketidakpastian berhubung penguatkuasaan dasar dan kos pertukaran kompleks dan faedah yang terhasil daripada pelaksanaan dasar GEG.

"Penilaian yang teliti harus dilaksanakan terhadap potensi kos, faedah dan risiko yang boleh berlaku," menurut Oxford Economics.

-- BERNAMA