BISNES

Ketegangan geopolitik di Asia Barat bersifat jangka pendek - Amir Hamzah

Bernama 26/06/2025 | 06:15 MYT
Amir Hamzah menegaskan bahawa keamanan sejagat adalah keutamaan, dan Malaysia terus menyokong usaha damai di rantau tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketegangan geopolitik berterusan di Asia Barat memberikan kesan bersifat jangka masa pendek kepada Malaysia, terutama dari segi kestabilan ekonomi, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Ringkasan AI
  • Ketegangan geopolitik di Asia Barat memberi kesan jangka pendek kepada ekonomi Malaysia, terutamanya melalui kenaikan harga minyak mentah yang melonjak selepas serangan tetapi kembali stabil apabila rundingan damai dijalankan.
  • Menteri Kewangan II menegaskan bahawa keamanan sejagat adalah keutamaan, dan Malaysia terus menyokong usaha damai di rantau tersebut.
  • Kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi RON95 tahun ini dengan pendekatan berhati-hati agar majoriti rakyat tidak terkesan, dan mekanisme pelaksanaan masih dalam peringkat perbincangan Kabinet.

Beliau berkata krisis semasa yang mengakibatkan beberapa serangan balas di kawasan konflik telah menyebabkan harga minyak mentah melonjak dalam tempoh singkat.
"Susulan serangan yang berlaku, harga minyak akan naik secara mendadak namun, apabila berlakunya rundingan kita dapat lihat penurunan harga.
"Jadi, impaknya adalah berjangka masa pendek buat masa ini. Kita faham usaha-usaha untuk mengekalkan keamanan terus ada dan Malaysia terus menyokong usaha untuk mengekalkan keamanan di rantau itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Belanjawan 2025 kendalian SME Bank di sini, Khamis.
Beliau berkata selain ekonomi, kedamaian sejagat adalah isu paling penting buat masa ini.
Dalam perkembangan berkaitan, harga minyak mentah Brent meningkat lebih tiga peratus minggu lepas sebelum kembali stabil minggu ini susulan laporan awal mengenai rundingan damai oleh beberapa kuasa besar.
Dari segi penyasaran subsidi RON95, Amir Hamzah berkata kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 pada tahun ini.
"Sekiranya kerajaan mahu melaksanakannya, penyasaran subsidi itu perlu dibuat dengan cara yang baik, seperti diesel sebelum ini yang kita perlu memastikan mekanisme yang kita ada adalah cara yang betul. Buat masa ini, kerajaan masih membuat reka bentuk mekanisme dan akan dibincangkan dalam Kabinet.
"Tapi dari segi dasarnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kita tidak akan mengenakan tahap yang tinggi. Kami ingin memastikan kebanyakan rakyat tidak akan terkena impak RON95 ini," katanya.
-- BERNAMA
#Amir Hamzah Azizan #Asia Barat #Konflik Iran-Israel #Malaysia