KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) melonjak 28.5 peratus kepada RM2.17 bilion dalam suku ketiga yang berakhir pada 30 Sept, 2022 (S3 2022) daripada RM1.68 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil meningkat kepada RM13.42 bilion daripada RM11.15 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Keputusan memberangsangkan itu disokong oleh prestasi operasi lebih baik yang dicatatkan oleh skim perbankan Islam, insurans dan anak syarikat takaful, serta pendapatan operasi lain, kata Maybank.

"Peningkatan (dalam pendapatan operasi lain) disokong terutamanya daripada keuntungan akaun nilai saksama tidak direalisasi yang tinggi ke atas penilaian semula liabiliti kewangan pada nilai saksama menerusi keuntungan atau kerugian sebanyak RM965.5 juta dan keuntungan pertukaran asing bersih sebanyak RM445.9 juta pada Suku Ketiga 2022 berbanding kerugian bersih RM40.7 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Peningkatan itu, bagaimanapun, diimbangi oleh kerugian bersih dalam pendapatan pelaburan sebanyak RM339.6 juta pada Suku Ketiga 2022 berbanding keuntungan bersih RM108.9 juta bagi suku yang sama sebelumnya, keuntungan direalisasi bagi derivatif yang rendah sebanyak RM357.5 juta dan kerugian akaun nilai saksama tidak direalisasi yang tinggi ke atas penilaian semula derivatif sebanyak RM345.9 juta," katanya.

Bagi 2022, Maybank berkata, ia akan terus menumpu untuk memacu pertumbuhan pinjaman dalam segmen perniagaan utama kumpulan di tengah-tengah peningkatan kadar di samping terus meningkatkan peluang pendapatan berasaskan fi dalam bahagian pertumbuhan seperti pengurusan harta, pasaran global, perbankan pelaburan, pengurusan aset dan insurans.

"Pelaburan strategik akan disalurkan untuk meningkatkan penawaran digital kumpulan dan keupayaan teknologi maklumat diselaraskan dengan keutamaan di bawah strategi korporat M25+ Maybank dengan penekanan khusus kepada tumpuan pelanggan.

"Mengenai kemampanan, kumpulan akan terus memacu inklusi kewangan yang lebih teguh, menawarkan pembiayaan dan penyelesaian mampan serta menyokong langkah ke arah peralihan bertanggungjawab kepada ekonomi karbon rendah," katanya.

Maybank berkata, dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu, ia akan mengekalkan kedudukan mudah tunai dan modalnya bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan keperluan pemegang kepentingannya.

Ia juga akan terus melibat urus secara proaktif dengan pelanggan secara bersasar untuk memberi sokongan tambahan kepada mereka yang memerlukan dan sebagai sebahagian daripada proses pengurusan kualiti asetnya yang kukuh.

"Kumpulan mengekalkan petunjuk prestasi utamanya, iaitu pulangan bagi ekuiti antara 9.5 dan 10 peratus bagi tahun kewangan 2022, mengambil kira kesan daripada Cukai Kemakmuran sekali sahaja yang diumumkan kerajaan," katanya. - BERNAMA