Keuntungan bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melonjak 203.35 peratus kepada RM727.30 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 berbanding RM239.75 juta pada 2017 dipacu oleh, antara lain, keuntungan di atas kertas bagi harga jualan dipersetujui dalam pelaburan di Lapangan Terbang Antarabangsa GMR Hyderabad Ltd (GHIAL) berjumlah RM258.4 juta.

MAHB memegang 11 peratus kepentingan dalam GHIAL.

Hasil kumpulan itu meningkat 4.3 peratus kepada RM4.85 bilion berbanding RM4.65 bilion tahun lepas, disokong oleh pertumbuhan operasi lapangan terbang, katanya.

Pertumbuhan hasil keseluruhan bagi kedua-dua segmen aeronautikal dan bukan aeronautikal meningkat 4.7 peratus daripada RM4.35 bilion kepada RM4.56 bilion, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini, hari ini.

Bagaimanapun, hasil daripada operasi bukan lapangan terbang menyusut sedikit iaitu 1.8 peratus pada tahun lepas kepada RM291.4 juta, khususnya disebabkan sumbangan lebih rendah daripada perniagaan pertanian.

"Secara keseluruhannya, operasi di Malaysia mencatatkan hasil sebanyak RM3.54 bilion dengan berkembang 3.5 peratus manakala operasi di Turki dan Qatar masing-masing mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 6.3 peratus kepada RM1.15 bilion dan 8.4 peratus kepada RM149.1 juta," katanya.

Mengenai keuntungan bersih, MAHB berkata terdapat keuntungan di atas kertas bagi harga jualan dipersetujui dalam pelaburan di GHIAL berjumlah RM258.4 juta dan peningkatkan hasil sebanyak RM200.4 juta,

"Kos meningkat 1.8 peratus kepada RM4.64 bilion berbanding pada tahun lepas, kebanyakannya disebabkan kos utiliti dan pentadbiran lebih tinggi yang dicatatkan pada tahun itu."

Keuntungan bersih bagi Malaysia dan Qatar lebih tinggi berbanding pada 2017, manakala operasi di Turki mencatatkan prestasi lebih baik dari segi kerugian sebelum cukai kepada RM209.0 juta, susut RM78.5 juta berbanding pada tahun lepas, jelasnya.

Keuntungan bersih bagi suku keempat, turun kepada RM28 juta berbanding RM32.28 juta, manakala hasil sebanyak RM1.25 bilion berbanding RM1.24 bilion sebelumnya.

Mengenai unjurannya, MAHB berkata berdasarkan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kapasiti tempat duduk ditawarkan syarikat-syarikat penerbangan, aliran trafik penumpang di Malaysia pada 2019 dijangka berkembang 4.9 peratus dengan trafik penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing berkembang 2.4 peratus dan 7.6 peratus.

Rangkaian lapangan terbang MAHB termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA) merekodkan 133.1 juta penumpang pada tahun semasa dalam semakan dari 1 Jan, 2018 hingga 31 Dis, 2018, mewakili 3.9 peratus pertumbuhan pada tahun lepas.

Sepanjang tahun itu, trafik bagi penumpang antarabangsa meningkat 5.9 peratus manakala trafik bagi penumpang domestik naik 2.2 peratus.

Bagi tempoh sama, pergerakan pesawat meningkat 2.8 peratus dengan pergerakan pesawat antarabangsa naik 6.1 peratus dan pergerakan pesawat domestik naik 0.7 peratus, katanya.

-- BERNAMA