KFC Holdings (M) Bhd dan QSR Brands Bhd, dijangka dinyahsenarai dari Bursa Saham Malaysia pada Khamis.

Pengarah Urusan Triple Platform Sdn Bhd Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata sehubungan dengan penyahsenaraian itu, Triple Platfrom sedang dalam proses menjenamakan semula syarikat tersebut.

"Kami telah menghantar permohonan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi mendaftarkan semula QSR berstatus Sdn Bhd," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan cawangan KFC dan Pizza Hut di The Curve, di sini.

Sebelum ini, Triple Platform telah ditubuhkan sebagai syarikat induk sementara untuk semua perniagaan di bawah QSR Brands Bhd dan KFC Holdings Bhd semasa proses pengambilalihan saham kedua-dua syarikat berkenaan oleh Triple Platform.

Beliau berkata dalam tempoh 100 hari sejak 21 Januari lalu, pengambilalihan kedua-dua syarikat berkenaan dimuktamadkan, pihaknya telah merangka strategi baru untuk memperkukuhkan kedudukan jenama-jenama di bawah syarikat terdahulu bagi terus meningkatkan prestasinya, di samping melupuskan aset syarikat yang tidak penting seperti segmen hartanah.

"Selain daripada mencari bakat pengurusan baru, kita juga memfokuskan kepada cabang perniagaan lain seperti penternakan yang mana pihak pengurusan terdahulu telah mengadakan usaha sama perniagaan dengan Felda bagi membangunkan pusat ternakan ayam yang bermula di Johor dengan nilai pelaburan bersama mencecah RM5 juta.

"Buat masa ini, kami juga tidak berhasrat untuk menambah jenama perniagaan baru selepas proses pengambilalihan ini memandangkan jenama KFC dan Pizza Huts itu sendiri sudah mempunyai kekuatan pasaran di Malaysia dan luar negara," katanya.

Beliau berkata syarikat juga dalam perancangan untuk memanjangkan masa operasi perniagaan sehingga jam dua pagi, berbanding jam 12 tengah malam sekarang ini.

"Selain itu, kami juga merancang untuk menambah 15 restoran pandu lalu KFC pada tahun ini, dengan fokus diberi kepada bandar-bandar besar.

"Pada masa ini, kami mempunyai 55 restoran pandu lalu KFC di seluruh negara," katanya, sambil menambah bahawa syarikat dalam perancangan untuk melengkapkan semua restorannya dengan perkhidmatan WiFi.

Buat masa ini, Triple Platform menguruskan sebanyak 558 restoran KFC dan 291 restoran Pizza Hut.