KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad dilaporkan kini dalam perbincangan untuk menerajui pelaburan berjumlah AS$400 juta (RM1.89 bilion) dalam Oyo Hotels & Homes Pvt Ltd.

Perkara itu dilaporkan Bloomberg yang memetik sumber rapat kepada maklumat tersebut.

Syarikat tempahan hotel yang berpangkalan di India itu disokong oleh Softbank Group Corp pada ketika ini sedang mencari dana untuk pengembangan perniagaan dan mengurangkan hutangnya.

Sumber memaklumkan, Avendus Capital Pvt Ltd merupakan syarikat perunding bagi proses perolehan dana tersebut.

Syarikat diterajui Ritesh Agarwal dan pernah berkembang pesat itu telah memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) buat kali kedua pada Mac lalu, selepas mengurangkan jumlah sasaran yang akan diperoleh sekitar dua pertiga, lapor Bloomberg.

Walaupun sektor pelancongan dilhat telah pulih pasca pandemik COVID-19, Oyo - yang dinilai sekitar AS$10 bilion (RM47.3 bilion) sebagai Airbnb India - belum memutuskan masa bagi penawaran IPO tersebut.

Perbincangan masih berjalan dan Khazanah masih boleh memutuskan untuk tidak melabur, kata sumber.

Malah, Oyo turut dilapor sedang mengadakan perbincangan dengan pelabur lain untuk meraih dana.
Oyo melaporkan kerugian bersih 13 bilion rupee (RM737.7 juta) dalam tempoh 12 bulan bagi tahun kewangan berakhir Mac 2023.

Wakil dari Khazanah dan Oyo tidak memberi sebarang maklum balas kepada emel yang meminta komen berkenaan perkara itu, sementara jurucakap Avendus menolak untuk memberi sebarang reaksi.

Khazanah telah meningkatkan pelaburan di India terutama melibatkan syarikat perbankan termasuk penyedia logistik Xpressbees dan rangkaian makanan segera, Wow! Momos.