BISNES

Khazanah labur lebih RM6 bilion majukan Medini Iskandar, Desaru Coast - MoF

Bernama 29/10/2025 | 00:00 MYT
Menurut Kementerian Kewangan, pelaburan Khazanah adalah berdasarkan mandat oleh kerajaan untuk membangunkan Iskandar Malaysia sebagai koridor ekonomi khas.
KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd telah melabur lebih RM6 bilion untuk memajukan pembangunan Medini Iskandar dan Desaru Coast di Johor setakat ini, demikian menurut Kementerian Kewangan (MoF).


Ringkasan AI
  • Pelaburan Khazanah di Johor: Khazanah Nasional melabur lebih RM6 bilion untuk membangunkan Medini Iskandar dan Desaru Coast bagi menarik pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor hartanah, pendidikan dan pelancongan.
  • Usaha pembangunan berterusan: Pembangunan kedua-dua kawasan itu dijangka mengambil masa panjang (3040 tahun) dan terus disokong kerajaan bagi memperkukuh ekonomi Johor serta kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
  • Hasil petroleum menurun: Dividen Petronas dijangka berkurang kepada RM20 bilion pada 2026, dan kerajaan menumpukan usaha mengurangkan kebergantungan kepada hasil petroleum serta mengoptimumkan perbelanjaan negara.


Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam, MoF berkata jumlah itu bertujuan menarik lebih banyak pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia, terutamanya dalam sektor pembangunan hartanah, perumahan, pendidikan dan pelancongan di kedua-dua kawasan itu.

"Pelaburan Khazanah adalah berdasarkan mandat oleh kerajaan untuk membangunkan Iskandar Malaysia sebagai koridor ekonomi khas dan usaha ini telah diperluaskan ke Desaru Coast selaras dengan usaha pembangunan yang lebih menyeluruh di negeri Johor.

"Secara amnya, pembangunan kawasan seperti Medini Iskandar dan Desaru Coast memerlukan tempoh matang yang panjang (30 hingga 40 tahun) serta pelaburan pemangkin untuk berkembang secara optimum," kata MoF.

Kementerian itu berkata demikian sebagai menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) berhubung status pembangunan dan jumlah pelaburan bagi Medini Iskandar dan Desaru Coast.

Medini Iskandar dikategorikan sebagai Zon B dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), manakala Desaru Coast sebagai sebahagian daripada Zon G.

Sehubungan itu, MoF berkata usaha akan terus diperkukuhkan bagi memastikan kedua-dua destinasi ini terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Sementara itu menjawab soalan berasingan, MoF berkata jumlah dividen daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi 2026 dijangka berkurangan kepada RM20 bilion berbanding anggaran RM32 bilion pada 2025.

Kementerian itu berkata hasil berkaitan petroleum bagi 2026 diunjur berjumlah RM43 bilion, berkurangan sebanyak 24 peratus berbanding anggaran RM56.6 bilion pada 2025.

"Kerajaan terus komited dalam mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum berikutan faktor pendedahan risiko ketidaktentuan harga minyak mentah global.

"Dari aspek pengurusan fiskal, Kerajaan Persekutuan akan terus memberi tumpuan kepada langkah pengoptimuman perbelanjaan, memastikan kemampanan hasil negara dan memperkukuh pelaksanaan pelan ekonomi yang menyeluruh bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Kementerian Kewangan berkata demikian sebagai menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berhubung pendekatan realistik kerajaan untuk Belanjawan 2026 tanpa bergantung kepada dividen Petronas yang menghadapi cabaran penurunan harga minyak mentah dunia.

-- BERNAMA

#Dewan Rakyat #Khazanah #pelaburan #Dividen Petronas