BISNES
Khazanah sambut baik cadangan PAC berhubung pelaburan modal teroka domestik

Menurut Khazanah, strategi perniagaan FashionValet terkesan akibat kejutan luaran yang tidak dijangka termasuk pandemik COVID-19, perubahan tingkah laku pengguna serta cabaran dalam strategi omnichannel. - Gambar fail/Khazanah
KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd menyambut baik dapatan serta cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pelaburan syarikat itu dalam FashionValet serta pendekatan lebih luas terhadap pelaburan modal teroka (VC) domestik.
Khazanah dalam kenyataan hari ini berkata, sepanjang sesi bersama PAC, pihaknya menjelaskan strategi VC domestik termasuk sifat pelaburan yang berisiko tinggi, selain memberikan gambaran menyeluruh mengenai rangka kerja tadbir urus pelaburan yang merangkumi kelulusan pelbagai peringkat serta semakan risiko dan urus niaga secara bebas.
“Khazanah merakamkan penghargaan kepada semua ahli PAC atas pengiktirafan terhadap ketegasan proses dalaman kami, yang memastikan keputusan pelaburan dibuat selaras dengan piawaian tadbir urus tertinggi,” menurut kenyataan itu.
Menurut Khazanah, strategi perniagaan FashionValet terkesan akibat kejutan luaran yang tidak dijangka termasuk pandemik COVID-19, perubahan tingkah laku pengguna serta cabaran dalam strategi omnichannel.Bagaimanapun, Khazanah mengakui penilaian PAC serta pengajaran yang diperoleh, termasuk syor untuk mempertingkatkan komunikasi awam mengenai strategi VC syarikat, sifat berisikonya serta peranan dalam memacu inovasi.
“Khazanah kekal komited dalam menyokong ekosistem keusahawanan dan VC negara. Walaupun pelaburan VC berisiko tinggi, ia penting bagi merangsang inovasi, memupuk syarikat pemula (startup) dan mengukuhkan daya saing jangka panjang negara.
“Penilaian kejayaan sesuatu program pelaburan VC memerlukan pendekatan berasaskan portfolio, bukan hanya melihat kepada pelaburan secara individu,” katanya.
Dari sudut proses dalaman, Khazanah berkata pihaknya mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Portfolio (PMC) setiap bulan bagi meneliti pengurusan risiko, perkembangan syarikat dalam portfolio serta ulasan penilaian (post-mortem) terhadap semua pelaburan, selain mesyuarat tetap Jawatankuasa Pelaburan (IC).
Khazanah menegaskan syarikat itu akan terus berusaha mengimbangi disiplin kewangan dengan objektif pembangunan negara berpandukan tadbir urus kukuh serta akauntabiliti jelas, sekali gus memastikan penciptaan nilai jangka panjang yang mampan dan memberi sumbangan positif kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami