[TERKINI] DUN Sabah Dibubar — PRN Ke-17 Bermula! Ikuti Perkembangan di Sini
BISNES

Khazanah sokong kerajaan dalam sektor strategik termasuk nadir bumi - Amirul Feisal

Bernama 06/10/2025 | 04:30 MYT
Amirul berkata, Khazanah kekal terbuka untuk berbincang dengan kesemua pihak berkepentingan dalam usaha memajukan kepentingan ekonomi jangka panjang bagi Malaysia. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) sedia menyokong inisiatif kerajaan dalam meneroka peluang membabitkan sektor-sektor baharu serta strategik yang menjadi sebahagian usaha meningkatkan daya tahan ekonomi Malaysia.

Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Khazanah, seiring kapasitinya sebagai sebuah dana kekayaan negara, sentiasa melakukan penyelidikan berkaitan potensi peluang dalam pelbagai sektor untuk memajukan agenda ekonomi negara.

"Kami menyedari mengenai perbincangan kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama China membabitkan REE (unsur nadir bumi) dan kami sentiasa bersedia menyokong usaha kerajaan untuk meneroka dan memahami sektor baharu dan strategik, termasuk REE, bagi menjamin masa depan ekonomi Malaysia," katanya kepada Bernama di luar Forum Megatrends Khazanah 2025, di sini, hari ini.

Pada Khamis, agensi berita antarabangsa Reuters melaporkan, Malaysia dan China dalam perbincangan awal melibatkan sebuah projek pemprosesan unsur nadir bumi dan Khazanah dijangka menjalin kerjasama dengan sebuah firma milik kerajaan China bagi membina loji penapisan di Malaysia.

Menjelaskan selanjutnya, Amirul berkata, dana kekayaan negara itu juga kekal terbuka untuk berbincang dengan kesemua pihak berkepentingan dalam usaha memajukan kepentingan ekonomi jangka panjang bagi Malaysia.

"Khazanah terbuka kepada semua pihak demi memajukan kepentingan ekonomi Malaysia," katanya.

Beliau berkata, peranan Khazanah adalah untuk meneliti peluang, bukan setakat bagi penciptaan nilai jangka panjang untuk negara, tetapi sejajar dengan trend global dalam kelestarian dan inovasi.

Pada 27 Ogos 2025, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, kerajaan komited untuk membangunkan dan menarik pelabur berpotensi bagi mengukuhkan aktiviti pengeluaran di sepanjang rantaian bekalan REE Malaysia.

Menurutnya, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Negara 2021-2030 akan menyokong usaha kerajaan dalam membangunkan bahan maju, termasuk sumber bijih mineral REE yang bernilai tinggi.

Malaysia dianggarkan mempunyai sebanyak 16.1 juta tan REE bukan radioaktif dengan nilai pasaran mencecah RM809.6 bilion.

-- BERNAMA




#Khazanah #sektor strategik #nadir bumi #Amirul Feisal Wan Zahir