Ringkasan AI
- Pelaksanaan inisiatif KL20 memerlukan komitmen berterusan tanpa mengira siapa yang menerajui, demi merealisasikan potensi Malaysia di peringkat global.
- KL20 bertujuan memperkukuh ekosistem syarikat pemula melalui akses pembiayaan, pembangunan bakat teknologi dan menarik pelaburan, dengan sasaran 20 ekosistem terbaik dunia menjelang 2030.
- Kerangka dasar seperti SUPER 2.0, Strategi Semikonduktor Nasional dan RMK13 perlu dilaksanakan selaras untuk memastikan kesinambungan pembangunan negara melangkaui perbezaan politik.
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan inisiatif KL20 bukan sekadar soal ahli politik memperkenalkan idea baharu, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan bagi merealisasikan potensi Malaysia di peringkat global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kesinambungan pelan pembangunan itu perlu dilihat berdasarkan manfaat kepada negara, tanpa mengira siapa yang bertanggungjawab menerajui pelaksanaannya.
Menurutnya, komitmen terhadap pembangunan negara perlu melangkaui perbezaan pandangan politik, meskipun proses demokrasi terus berlangsung.
“Apabila saya mengambil alih, saya menjelaskan bahawa ini bukan sekadar soal ahli politik menjual idea baharu, tetapi komitmen untuk merealisasikan potensi Malaysia di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena KL20 The Flagship 2026 di The Campus, Ampang, hari ini.
Akmal menjelaskan KL20 merupakan inisiatif kerajaan yang telah dimulakan sebelum beliau menerajui Kementerian Ekonomi.
KL20 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 April 2024, ketika kementerian berkenaan diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli.
Inisiatif itu diperkenalkan bersama Pelan Tindakan KL20 bagi memperkukuh ekosistem syarikat pemula atau startup melalui akses pembiayaan, pembangunan bakat teknologi dan usaha menarik pelaburan.
Antara sasaran utamanya ialah menempatkan Malaysia dalam kelompok 20 ekosistem startup terbaik dunia menjelang 2030, selain menggalakkan pertumbuhan syarikat teknologi tempatan.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, kesinambungan pelan berkenaan penting supaya agenda yang telah dirangka dapat diteruskan berdasarkan kepentingan negara.
“Apa yang kita harapkan ialah kesinambungan pelan ini, tanpa mengira siapa yang bertanggungjawab, dengan melihatnya daripada sudut manfaat kepada negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa proses demokrasi perlu terus berlangsung, namun usaha membangunkan negara merupakan komitmen yang melangkaui perbezaan pandangan dan kefahaman politik.
Dalam pada itu, Akmal berkata, pelaksanaan agenda ekonomi negara bukan dibuat berdasarkan keputusan bersifat sementara, sebaliknya berpandukan kerangka dasar yang telah diwujudkan.
Antaranya, Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER 2.0), Strategi Semikonduktor Nasional dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau turut merujuk kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang menetapkan sasaran jangka panjang sehingga 2050.
Menurutnya, kerangka dasar berkenaan perlu dilaksanakan secara selaras, termasuk dengan perancangan pembangunan negara yang melangkaui tempoh lima tahun.
Akmal berkata, peranan kerajaan dalam melaksanakan agenda berkenaan juga perlu difahami oleh pihak industri bagi memastikan wujud komitmen bersama.
Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab kerajaan ketika ini adalah memastikan kemajuan pelaksanaan agenda pembangunan yang telah ditetapkan dapat diteruskan demi kepentingan negara.