KMP perkasa industri kitar semula bateri negara

Ketua Pegawai Eksekutif KMP, Yarham Yunus berkata, pelaburan tersebut bukan sekadar suntikan modal kewangan, sebaliknya merupakan pegangan strategik terhadap masa depan industri berteknologi tinggi negara. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kumpulan Modal Perdana (KMP), firma modal teroka milik Menteri Kewangan (Diperbadankan), secara rasmi mengumumkan pelaburan strategik dalam fasiliti hidrometalurgi yang dibangunkan oleh Econili.
Pelaburan itu membolehkan pemprosesan mineral kritikal seperti litium, kobalt dan nikel dilaksanakan secara domestik, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada import asing.
Ketua Pegawai Eksekutif KMP, Yarham Yunus berkata, pelaburan tersebut bukan sekadar suntikan modal kewangan, sebaliknya merupakan pegangan strategik terhadap masa depan industri berteknologi tinggi negara.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam industri kitar semula bateri serta menyokong aspirasi negara untuk menjadi hab kitar semula di Asia Tenggara.
“Dalam usaha menuju ekonomi berteknologi tinggi dan sasaran Net Zero, kita tidak mahu membiarkan sumber kritikal negara kekal sebagai sisa. Pelaburan ini adalah pegangan strategik bagi memastikan rantaian nilai revolusi kenderaan elektrik (EV) terus berakar umbi di Malaysia.
“Bahan yang dipulihkan daripada bateri terpakai juga akan disalurkan semula ke dalam sektor penyimpanan tenaga (Battery Energy Storage System – BESS) bagi menyokong kestabilan grid tenaga boleh baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kerjasama itu mencerminkan komitmen kukuh kerajaan dalam memacu ekonomi kitar semula serta memperkukuh kedaulatan rantaian bekalan industri berteknologi tinggi negara.
Econili, yang menerajui kitar semula bateri litium-ion sejak 2019, kini mengendalikan loji terbesar di Malaysia dengan kapasiti pemprosesan sehingga 24,000 tan bateri terpakai setahun.
Fasiliti itu menggunakan kaedah hidrometalurgi yang lebih mesra alam berbanding kaedah tradisional, sekali gus menyokong konsep urban mine atau lombong bandar.
Teknologi hijau berkenaan bukan sahaja meminimumkan risiko pencemaran, malah memastikan pematuhan tinggi terhadap piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pengurusan sisa berbahaya.
Inisiatif tersebut selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang memberi tumpuan kepada misi Net Zero.
Selain itu, ia turut membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan kimia dan teknologi hijau kepada tenaga kerja tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Econili, Jayden Goh berkata, selaras dengan Dasar Teknologi Hijau Negara, syarikat itu komited menyokong ekosistem kitar semula bateri sebagai alternatif kepada aktiviti perlombongan dan pelupusan yang tidak mampan.
“Kami berbangga dengan pelancaran loji Econili yang terbesar di negara ini. Selaras dengan dasar kerajaan dalam sektor tenaga boleh baharu, loji ini berupaya memproses sehingga 24,000 tan bateri terpakai setahun,” katanya.
Beliau menambah, komitmen Econili terhadap teknologi hijau melalui kaedah hidrometalurgi menyokong aspirasi kerajaan untuk membangunkan industri berteknologi tinggi dan berkemahiran tinggi.
“Inisiatif ini sekali gus meletakkan Malaysia di hadapan negara pesaing yang masih bergantung kepada kaedah kitar semula berteknologi rendah dan berisiko tinggi terhadap pencemaran seperti pirometalurgi,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


