KUALA LUMPUR: KPF Trading Sdn Bhd sedang dalam proses memuktamadkan penstrukturan semula operasi D'Mart dengan model perniagaan baharu yang lebih sesuai dengan komuniti di tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penstrukturan itu melibatkan perbincangan model perniagaan yang membabitkan usaha sama dengan pemain industri yang mampu memacu pengurusan yang lebih mampan dan kukuh.

"Perancangan dalam modus operandi yang terbaru adalah dengan memperkenalkan model perniagaan yang menyasarkan barangan runcit dan segar dengan harga yang kompetitif.

"Model perniagaan yang sebelum ini dipraktikkan adalah hanya tertumpu kepada barang runcit sahaja," kata Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berkenaan peranan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk memastikan semua cawangan D'Mart seluruh negara dapat dihidupkan kembali.

KPF Trading mempunyai sebanyak 201 cawangan D'Mart dan daripada jumlah tersebut sebanyak 151 cawangan masih lagi beroperasi dalam skala kecil berbanding sebelum ini dengan menjual barangan utama sahaja kepada komuniti dan masyarakat setempat di rancangan Felda.

Bagaimanapun, 50 cawangan lagi ditutup operasinya pada penghujung 2022 berikutan masalah aliran tunai.

-- BERNAMA