KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare Berhad merintis kerjasama strategik bersama Cenviro Sdn Bhd dalam melaksanakan inisiatif penting pengurusan sisa klinikal pertama buat julung kali di Malaysia.

Menurut Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan, kerjasama itu bukan sahaja bakal mengubah landskap kelestarian penjagaan kesihatan, sebaliknya, turut melaksanakan reformasi baharu.

‘Usaha ini diambil bukan sahaja demi memulihara alam sekitar, tetapi lebih kepada mengukuhkan kedudukan KPJ sebagai pemain utama dalam memacu inisiatif secara proaktif demi masa hadapan industri perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

“Inisiatif yang turut mendapat kerjasama daripada Cenviro dan disokong penuh oleh Jabatan Alam Sekitar ini telah membuka lembaran baharu dalam memperkasakan komitmen kami untuk menyepadukan elemen kelestarian dalam setiap aspek operasi kami,” kata beliau pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KPJ dan Cenviro, baru-baru ini.

Menerusi usaha gigih yang berterusan ini, beliau berkata, KPJ berharap dapat memberi inspirasi kepada gerakan yang mampu merentas industri dan generasi demi masa depan yang lebih mampan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dr Norhazni Mat Sari berkata, usaha yang dijalankan oleh KPJ dan Cenviro bertepatan dengan pendekatan pelaksanaan kitaran ekonomi buangan terjadual di fasiliti kesihatan.

Pada masa sama, usaha itu juga, kata Norhazni, selaras dengan Indeks Prestasi Utama (KPI)
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) untuk meningkatkan kadar kitar semula buangan terjadual daripada 35 peratus kepada 50 peratus menjelang 2030.

“Tahniah kepada KPJ Healthcare Berhad kerana menjadi pelopor dalam Inisiatif Program Kitar Semula Buangan daripada Hospital di Malaysia.

“Saya turut berharap inisiatif ini dapat menjadi contoh dan diteruskan di hospital-hospital kerajaan dan swasta lain di Malaysia,” kata Norhazni.

Dalam perkembangan sama, Pengarah dan Pengarah Urusan Kumpulan Cenviro Sdn Bhd,  Dr. Johari Jalil berpendapat, apa yang menjadikan kerjasama Cenviro dengan KPJ Healthcare penting ialah usaha ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Buangan klinikal, khususnya SW 409 yang terdiri daripada bekas, beg atau peralatan yang tercemar dengan bahan kimia, racun perosak, minyak mineral atau buangan terjadual, sentiasa menjadi perkara yang membimbangkan.

Inisiatif ini bermula dengan idea yang berani: untuk menukar sisa buangan menjadi bernilai dan direka dengan teliti untuk menangani isu pengurusan sisa klinikal di bawah kategori buangan terjadual SW404 dan SW409 di hospital yang sering diabaikan.

KPJ Healthcare memulakan misi untuk mengasingkan dan mengitar semula, menyasarkan sejumlah besar buangan klinikal seperti botol dan cawan ubatan serta bahan plastik dari wad hospital dan pusat dialisis.

Projek perintis yang mula dilaksanakan pada Ogos 2023 di sembilan buah hospital KPJ di Zon Tengah telah mempamerkan impak yang memberangsangkan.