KPMG tidak lagi jadi juruaudit Serba Dinamik

Bernama
Jun 24, 2021 11:02 MYT
Messrs KPMG PLT telah menyerahkan notis peletakan jawatannya sebagai juruaudit Serba Dinamik Holdings Bhd, berkuat kuasa serta-merta.- Gambar fail
KUALA LUMPUR: Messrs KPMG PLT telah menyerahkan notis peletakan jawatannya sebagai juruaudit Serba Dinamik Holdings Bhd, berkuat kuasa serta-merta, berikutan saman yang difailkan terhadap mereka oleh penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas itu.
Serba Dinamik dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata notis itu menyatakan bahawa saman yang telah difailkan pada 22 Jun lepas terhadap KPMG PLT berhubung audit berkanun berterusan syarikat bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021, telah menjejaskan keupayaan juruaudit itu untuk meneruskan auditnya secara profesional.
''Syarikat kini sedang mengenal pasti juruaudit baru untuk dilantik, sesuai dengan Seksyen 271(2)(b) Akta Syarikat 2016 dan akan membuat pengumuman dengan segera selepas pemuktamadan pelantikan juruaudit ini," katanya.
BACA: Dakwaan cuai, Serba Dinamik kemuka saman terhadap KPMG
BACA: Bursa kemuka pertanyaan kepada Serba Dinamik mengenai maklumat terkini berhubung penilai bebas
Dalam kenyataan berasingan, Serba Dinamik berkata ia tidak pernah mendakwa pengerusinya telah berhubung secara rasmi dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau Bursa Malaysia Bhd (Bursa).
"Kami menghargai institusi tersebut kerana tidak merumitkan fakta kes ini, fakta yang masih ada pada umumnya," katanya.
Syarikat itu memperakui pendapat oleh SC dan Bursa bahawa juruaudit boleh mempunyai beberapa elemen keraguan secara profesional semasa audit.
"Tetapi keraguan ini wajar dimaklumkan kepada pelanggan untuk mencari penyelesaian ke atas perkara-perkara yang diketengahkan dan atas dasar keraguan semata-mata tidak mencukupi untuk juruaudit membuat laporan secara pramatang kerana ini akan memudaratkan syarikat serta pasaran," tambahnya.
-- BERNAMA
#KPMG #Messrs KPMG PLT #letak jawatan #juruaudit #Serba Dinamik #saman #Bursa Malaysia