BISNES

KSN komited pantau pelaksanaan RMK13 secara berskala

Bernama 31/07/2025 | 10:20 MYT
Shamsul Azri merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang bertungkus lumus menyediakan dokumen berkenaan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memberi komitmen untuk memantau secara rapi dan berkala pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).


Ringkasan AI
  • Ketua Setiausaha Negara komited pantau RMK13: Tan Sri Shamsul Azri akan memantau pelaksanaan RMK13 secara rapi dan berkala bagi memastikan matlamat pembangunan tercapai.
  • RMK13 berteraskan tiga asas utama: Fokus kepada pembentukan negara bangsa bermaruah, sistem sosial MADANI, dan peralihan kepada ekonomi berasaskan kecerdasan buatan.
  • Malaysia sasarkan kedudukan ekonomi global: RMK13 dirangka untuk menjadikan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar dunia dan peneraju teknologi digital serantau melalui inovasi Made by Malaysia.


Beliau berkata dokumen RMK13 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini, diasaskan kepada keperluan meningkatkan kualiti hidup rakyat, memperkukuh tadbir urus yang baik serta menjadikan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar dunia.

"Satu penyampaian yang sarat dengan ketegasan, tekad, keterangkuman dan berstrategi untuk menjadikan Malaysia peneraju ekonomi Asia Tenggara, sekali gus mengangkat semula darjat dan martabat negara.

"Dalam hal ini, saya menyeru seluruh keluarga besar penjawat awam agar meluangkan masa meneliti dokumen penting ini. Insya-Allah, saya sendiri akan memantau secara rapi dan berkala pelaksanaan RMK13," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Shamsul Azri yang turut hadir ketika pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat, turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang bertungkus lumus menyediakan dokumen berkenaan.

Anwar ketika membentangkan RMK13 berkata pelan pembangunan lima tahun negara itu berteraskan tiga asas utama, iaitu pembentukan negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah; sistem sosial berteraskan insan MADANI; serta peralihan kepada negara berasaskan kecerdasan buatan.

Rancangan itu menyasarkan pembentukan masyarakat yang inklusif dan progresif, selain menjadikan Malaysia peneraju teknologi digital serantau melalui penghasilan inovasi serta produk dan perkhidmatan bertaraf global 'Made by Malaysia'.

-- BERNAMA




#RMK13 #ketua setiausaha negara #penjawat awam #Shamsul Azri Abu Bakar #Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat