KUALA LUMPUR: Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, yang dikenali sebagai OPEC+, pada Ahad bersetuju untuk menaikkan sasaran pengeluaran minyak buat kali keempat dalam tempoh empat bulan.
Keputusan itu dibuat walaupun perang antara Amerika Syarikat dan Iran masih menghalang beberapa ahli kumpulan itu daripada meningkatkan pengeluaran.
Situasi perang tersebut telah mengurangkan aliran minyak melalui Selat Hormuz, sekali gus mencetuskan krisis bekalan global.
Beberapa anggota utama OPEC+, termasuk Arab Saudi, tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan sepenuhnya sejak akhir Februari.
Keputusan negara Emriah Arab Bersatu (UAE) untuk keluar daripada OPEC selepas hampir 60 tahun menjadi ahli menjadikan krisis ini bertambah buruk.
Bagaimanapun, tujuh anggota teras OPEC+, yang merangkumi negara OPEC dan sekutu pengeluar termasuk Rusia, telah meningkatkan kuota pengeluaran mereka dari April hingga Jun sebanyak hampir 600,000 tong sehari.
Kesan peningkatan sasaran pengeluaran
Menurut data OPEC, pengeluaran kumpulan tersebut telah merosot berikutan sekatan eksport oleh negara-negara Teluk, dengan purata pengeluaran sebanyak 33.19 juta tong sehari pada April, menurun daripada 42.77 juta tong sehari pada Februari.
Tujuh negara tersebut bersetuju untuk menaikkan sasaran sebanyak 188,000 tong sehari bermula Julai, menurut kenyataan yang dikeluarkan OPEC pada Ahad.
Bagaimanapun, kenaikan ini sama seperti peningkatan pada Jun, yang telah diselaraskan daripada kenaikan bulanan 206,000 tong sehari pada April dan Mei bagi mengambil kira pengunduran UAE.
Pada Jumaat, harga minyak mentah jatuh ke sekitar AS$93 setong apabila pedagang semakin yakin bahawa konflik baharu antara Amerika Syarikat dan Iran kurang berkemungkinan berlaku.
Harga sebelum perang bermula adalah sekitar AS$72 setong.
Niaga hadapan minyak mentah Brent ditutup pada AS$93.09 setong, turun AS$1.94 atau 2.04%. Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat pula ditutup pada AS$90.54 setong, turun AS$2.50 atau 2.69%.
OPEC+ hampir menamatkan pengurangan pengeluaran 2023
Tujuh negara tersebut meningkatkan pengeluaran sebagai sebahagian daripada usaha berperingkat untuk menamatkan pengurangan pengeluaran sebanyak 1.65 juta tong sehari yang dipersetujui pada tahun 2023, ketika UAE masih menjadi ahli.
Bermula Julai, kira-kira 567,000 tong sehari daripada pengurangan asal masih belum dikembalikan ke pasaran, mengambil kira pengunduran UAE pada 1 Mei, lapor Reuters.
Ini bermakna baki pengurangan tersebut dijangka ditamatkan sepenuhnya menjelang akhir September sekiranya OPEC+ meneruskan kenaikan bulanan sekitar 188,000 tong sehari bagi Ogos dan September.
Pada Ahad, tujuh daripada 21 ahli OPEC+ menghadiri mesyuarat iaitu Arab Saudi, Iraq, Kuwait, Algeria, Kazakhstan, Rusia dan Oman.
Memetik kenyataan sama, dalam mesyuarat berasingan pada Ahad yang melibatkan semua ahli OPEC+, menteri-menteri yang terlibat tidak membuat sebarang perubahan terhadap dasar pengeluaran sedia ada yang akan berkuat kuasa sehingga akhir 2026.
OPEC+ kini sedang menjalankan semakan terhadap kapasiti pengeluaran minyak ahli-ahlinya bagi dijadikan rujukan kepada garis dasar pengeluaran tahun 2027, yang akan digunakan untuk menetapkan kuota.