Skip to main content

Bisnes

KUSKOP perkasakan PKS melalui sokongan e-dagang global - Steven Sim

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Eksport Enterprise 50 2026 hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Eksport Enterprise 50 2026 hari ini. - Foto BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • KUSKOP akan memperkukuh sokongan kepada PKS Malaysia untuk menembusi pasaran global melalui e-dagang, bimbingan kawal selia dan promosi produk.
  • SME Corp Malaysia menyediakan maklumat, panduan serta ekosistem sokongan termasuk membantu PKS memahami perjanjian perdagangan bebas dan meningkatkan kesediaan eksport.
  • Persidangan Eksport E50 2026 dan Seminar PRESTIGE 2.0 dianjurkan untuk memperluas jaringan, pendedahan pasaran serta penerapan pendigitalan dan teknologi dalam kalangan PKS.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memperkukuh sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia untuk menembusi pasaran global melalui platform e-dagang, bimbingan berkaitan kawal selia di luar negara dan promosi produk.

Menteri berkenaan Steven Sim Chee Keong berkata inisiatif itu bukan sahaja menyenaraikan produk dalam talian, malah turut membantu perniagaan memenuhi keperluan pasaran luar negara dan menyerlah di tengah-tengah persaingan yang sengit.

“Kami berhasrat membantu perniagaan Malaysia memanfaatkan platform e-dagang global seperti Alibaba untuk membawa produk dan perkhidmatan kita ke seluruh dunia,” katanya ketika merasmikan Persidangan Eksport Enterprise 50 (E50) 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy.

Sim berkata beliau telah membincangkan pendekatan itu dengan Alibaba semasa lawatan ke China baru-baru ini dan menegaskan bahawa e-dagang rentas sempadan perlu membolehkan perniagaan Malaysia menjual produk ke luar negara selain membuka peluang kepada produk luar negara untuk menembusi pasaran domestik.

Menurutnya bantuan berkaitan permit, lesen dan keperluan kawal selia lain akan membantu perniagaan menembusi pasaran luar negara manakala usaha promosi pula akan memastikan produk mereka tetap menjadi  menjadi tumpuan di tengah-tengah jutaan tawaran produk yang bersaing di pasaran.

Sim berkata SME Corp Malaysia juga akan menyediakan maklumat, panduan dan ekosistem sokongan termasuk membantu perniagaan kecil memahami serta memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas.

Menurutnya eksport PKS berkembang lebih 10 peratus tahun lepas, merangkumi kira-kira 15 peratus daripada jumlah eksport negara dan membuktikan keupayaan mereka untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Namun, apabila kami memaklumkan bahawa anda sudah bersedia untuk mengeksport, kami tidak akan membiarkan anda berjuang sendirian,” katanya.

Menurut Sim KUSKOP kekal komited terhadap kerangka ABCD yang merangkumi peningkatan produktiviti, pengurangan birokrasi, akses kepada modal serta peluasan akses pasaran domestik dan antarabangsa.

Mengenai Belanjawan 2027, beliau berkata keutamaan kementerian adalah mendapatkan lebih banyak sumber untuk perniagaan, mengurangkan kos operasi dan menambah baik penyampaian perkhidmatan kerajaan bagi membantu mereka bersaing serta berkembang.

Menurutnya sokongan itu seharusnya membolehkan perniagaan berkembang, bukan sekadar bertahan dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan bersaing dengan berjaya di pasaran global.

Sementara itu, majlis pertukaran memorandum persefahaman antara SME Corp Malaysia dengan tiga rakan kerjasama iaitu Entrepreneurship Development Company (EDC) Uzbekistan, Lazada Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut diadakan pada Persidangan Eksport (E50) 2026.

Rizal dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena persidangan itu pula berkata sebanyak 66 program pembangunan yang memberikan tumpuan kepada akses pasaran telah dilaksanakan tahun ini dengan peruntukan keseluruhan RM293.98 juta termasuk PKS@kses di bawah agensi berkenaan.

“Inisiatif ini menyediakan sokongan pembiayaan dan pembinaan kapasiti untuk mengukuhkan keupayaan PKS, membolehkan mereka meluaskan jangkauan pasaran, meningkatkan kesediaan eksport dan memperoleh akses yang lebih luas kepada pasaran domestik dan eksport,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Persidangan Eksport E50 yang dianjurkan buat julung kalinya dan dihadiri hampir 300 peserta daripada syarikat PKS memberikan pendedahan mengenai trend pasaran, peraturan serta kesediaan eksport, selain memperluas jaringan perniagaan.

Dalam aspek pendigitalan pula, SME Corp Malaysia semalam menganjurkan Seminar Peningkatan Skala Digital dan AI untuk PKS di bawah Program PRESTIGE 2.0: Global Value Chain (GVC), yang memberikan manfaat kepada kira-kira 300 PKS terutama dalam sektor pertumbuhan dan bernilai tinggi.

Seminar bertemakan ‘Tech Up, Scale Up’ itu bertujuan membantu PKS meningkatkan skala perniagaan menerusi penerapan pendigitalan, automasi dan teknologi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement