KUALA LUMPUR: Malaysia perlu membuat persediaan menghadapi masyarakat menua dengan melabur dalam penjagaan kesihatan, penjagaan warga emas dan teknologi yang membolehkan golongan itu hidup berdikari, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah.
Beliau berkata, peningkatan populasi menua akan mewujudkan keperluan ekonomi dan peluang baharu, sekali gus memerlukan strategi pelaburan jangka panjang yang mengimbangi manfaat sosial dengan pulangan kewangan yang mampan.
“Matlamat sosial yang baik tidak mengetepikan keperluan untuk mengekalkan disiplin pelaburan. Setiap peluang mestilah mempunyai merit komersialnya sendiri serta memenuhi kriteria risiko dan pulangan yang ditetapkan oleh kami,” katanya.
Beliau menyampaikan ucaptama bertajuk Investing in Longevity: From Risks to Opportunities in an Ageing Society pada Persidangan Kebangsaan mengenai Penuaan (NCA) 2026 di sini pada Isnin.
Jay Khairil berkata, pelabur institusi seperti KWAP boleh memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan perkhidmatan, infrastruktur dan teknologi bagi memenuhi keperluan populasi yang semakin menua, di samping menjana nilai jangka panjang.
Sejajar dengan usaha itu, KWAP terus meneroka peluang pelaburan menerusi Dana Pemacu, iaitu inisiatif yang menyokong Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) di bawah Kerangka Ekonomi MADANI. Antara sektor sasaran yang dikenal pasti ialah ekonomi perak dan penjagaan kesihatan, termasuk produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan golongan warga emas.
Jay Khairil berkata, persediaan menghadapi masyarakat menua turut memerlukan penambahbaikan akses kepada perkhidmatan untuk pesara, termasuk menerusi platform digital dan bantuan berasaskan komuniti.
Beliau berkata, KWAP sedang berusaha menambah baik platform MyPesara serta menyediakan bantuan kepada pesara dalam komuniti masing-masing.
“Teknologi menjadikan banyak perkhidmatan lebih mudah diakses. Namun, kita perlu memastikan ia tidak mewujudkan jurang baharu. Sebahagian pesara yakin menggunakan aplikasi, manakala yang lain lebih selesa berurusan secara langsung dengan seseorang. Kedua-dua golongan berhak mendapat perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan mereka,” katanya.
Beliau turut menekankan kerjasama KWAP dengan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bermula pada 2017 dan membawa kepada pembangunan Agenda Strategik Persaraan pada 2024.
NCA 2026 yang berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan bersama oleh MyAgeing, UPM, Kendana Malaysia, KWAP dan Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), dengan tumpuan kepada usaha menangani ketidaksamaan serta meningkatkan kesihatan, sokongan sosial dan penyelesaian berasaskan teknologi untuk golongan warga emas.
-- BERNAMA