KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun, 2023 (1H 2023), peningkatan sebanyak RM9.44 bilion, berbanding RM23.75 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2022.

Jumlah itu adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh tersebut, kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion, RM4.79 bilion mewakili keuntungan 'mark-to-market' (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan. Keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran mata wang asing.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi pasaran ekuiti global pada separuh tahun pertama 2023 adalah positif, diterajui oleh pasaran maju, khususnya di AS yang terus menunjukkan daya tahan walaupun kadar faedah meningkat.

"Ketangkasan dan kebolehsuaian KWSP dalam strategi pelaburannya membuka ruang kepada pengurus pelaburan untuk memanfaatkan peningkatan pasaran, sekali gus menyumbang kepada pulangan yang lebih tinggi daripada ekuiti dalam tempoh tersebut.

"Ini berbeza dengan prestasi pasaran ekuiti yang dilihat pada separuh tahun pertama 2022, yang menyaksikan beberapa indeks mengalami kemerosotan yang ketara, dengan kebanyakan pasaran termasuk AS mencatatkan prestasi separuh pertama terburuk mereka dalam beberapa dekad," tambah beliau.

Amir Hamzah berkata bagi Malaysia, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus pada suku tahun pertama 2023 telah melangkaui jangkaan, didorong khususnya oleh permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan dalam pasaran buruh.

"Pertumbuhan yang berdaya tahan telah meredakan keadaan kewangan yang ketat, seterusnya memberikan ruang kepada pasaran modal domestik," katanya lagi.

Jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku kedua (S2 2023) ialah RM18.03 bilion, meningkat RM9.05 bilion daripada RM8.98 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi S2 2023 pada RM9.60 bilion manakala kelas aset ini menjana pendapatan RM4.07 bilion pada suku yang sama pada 2022.

Sebahagian besar daripada peningkatan tersebut adalah disumbang oleh langkah proaktif dan ketepatan dalam merealisasikan keuntungan, disokong oleh peningkatan pasaran keuntungan sekuriti MTM. Selepas mengambil kira turun nilai kos, angka ini menyumbang 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagisuku tersebut, katanya.

Pelaburan domestik KWSP, yang merangkumi 61.4 peratus daripada jumlah aset, telah meningkat sebanyak RM57 bilion berbanding setahun lalu.

KWSP berkata pihaknya kekal komited untuk menyokong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dengan terus memperuntukkan lebih 80 peratus daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik.

Pada S2 2023, sebanyak RM16.27 bilion daripada RM18.03 bilion pendapatan pelaburan kasar dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM1.76 bilion untuk Simpanan Shariah.

Sementara itu, KWSP terus meningkatkan keahliannya kepada 15.90 juta pada separuh pertama 2023, dan daripada jumlah itu, ia mencapai paras tertinggi sebanyak 8.47 juta ahli aktif, yang kini mewakili 50.2 peratus daripada 16.86 juta tenaga buruh Malaysia.

Peningkatan ahli aktif adalah 467,087 daripada 8 juta pada separuh pertama 2022 kepada 8.47 juta pada separuh pertama 2023.

Pendaftaran majikan baharu juga menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 43,084 dalam tempoh tersebut, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 598,871.

Pertambahan ahli aktif dan majikan menjadikan jumlah caruman diterima meningkat sebanyak RM50.48 bilion pada separuh pertama 2023, naik 16.8 peratus daripada RM43.23 bilion pada separuh pertama 2022.

Pemulihan pasaran buruh di Malaysia dan usaha berterusan KWSP untuk menggalakkan ahli mencarum secara sukarela telah membantunya merekodkan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif yang lebih baik, naik daripada 52:48 peratus pada S2 2022 kepada 53:47 peratus pada S2 2023.

Pada separuh pertama 2023, KWSP mencatatkan pertumbuhan 36 peratus dalam jumlah pencarum sukarela kepada 535,307 daripada 393,966 pada separuh pertama 2022.

Jumlah caruman terkumpul ialah RM3.93 bilion pada separuh pertama 2023, meningkat sebanyak 46 peratus daripada RM2.70 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Sementara itu, bilangan ahli sektor formal yang memilih untuk menyumbang lebih daripada kadar berkanun ialah 31,128 pada separuh pertama 2023, berbanding 9,765 pada separuh pertama 2022.

-- BERNAMA