Fasa kedua pertumbuhan ekonomi Labuan bagi tempoh 2018-2030 dijangka dipacu tujuh tonggak merangkumi pendidikan, pelancongan, perkhidmatan awam, kewangan, perkhidmatan sokongan minyak dan gas, logistik serta pengeluaran produk berasaskan metanol.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata untuk tahun ini sahaja, beberapa projek bernilai kira-kira RM1 bilion bakal dilaksanakan termasuk sebuah outlet premium iaitu yang pertama di hab kewangan luar pesisir antarabangsa negara itu.

"Projek di atas kawasan seluas enam ekar (2.4 hektar) berhampiran Kelab Golf Antarabangsa Labuan itu melibatkan pelaburan swasta dan telah diluluskan untuk pelaksanaan pada bulan depan," katanya kepada Bernama dalam temu bual bersempena sambutan Hari Wilayah pada 1 Feb ini.

Rozman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan berkata turut diluluskan ialah projek jalan pesisir pantai bernilai RM140 juta yang menghubungkan Tanjung Aru dan Nagalang ke pusat bandar.

Beliau berkata Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan yang dilancarkan baru-baru ini dengan tujuan mengintegrasikan aktiviti dan operasinya dengan ekonomi tempatan, dijangka mencetuskan limpahan tambahan kepada pulau itu.

"Penubuhan Petronas Methanol Labuan (PML) yang merupakan pengeluar metanol keempat terbesar dunia membawa masuk syarikat minyak dan gas antarabangsa ke Asian Supply Base di sini yang secara langsung menjadikan Labuan antara hab minyak dan gas yang berdaya saing," katanya.

Selain mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan, beliau berkata potensi PML harus dimanfaatkan sepenuhnya dengan meneroka sektor hiliran industi metanol.

"Ini yang harus kita tumpukan iaitu membangunkan sektor perkilangan menerusi pengeluaran produk berasaskan metanol yang dapat mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan untuk rakyat tempatan," katanya.

Pada masa sama, Rozman yakin cadangannya untuk menubuhkan Universiti Asia yang pertama dapat direalisasikan memandangkan Labuan disasarkan menjadi hab pendidikan.

"Cadangan ini dikemukakan pada persidangan Parlimen sesi lalu dan saya percaya kerajaan sangat berminat merealisasikan perkara ini," katanya.

Pada masa ini Labuan merupakan tuan rumah kepada Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan dan Kolej Matrikulasi Labuan serta City College.

Projek lain yang dirancang untuk rakyat pada tahun ini termasuk pembinaan 160 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia dan 500 unit Projek Perumahan Rakyat, katanya.

Labuan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1984 dan diangkat sebagai pusat kewangan luar pesisir antarabangsa pada 1990.

-- BERNAMA