Laluan ECRL dikurangkan 40km - Tun Daim

Astro Awani
April 12, 2019 07:51 MYT
TUN DAIM: Panjang rel ECRL akan dikurangkan sebanyak 40 kilometer, dengan kos pembinaan setiap kilometer bernilai RM68 juta berbanding RM98 juta sebelum ini. - Gambar fail
Portal South China Morning Post melaporkan, Penasihat Khas Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata, panjang rel Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) akan dikurangkan sebanyak 40 kilometer, dengan kos pembinaan setiap kilometer bernilai RM68 juta berbanding RM98 juta sebelum ini.
Tun Daim dilaporkan berkata demikian semasa sidang media di Kedutaan Malaysia di Beijing
Dalam pada itu, sebuah portal melaporkan, laluan ECRL akan bermula dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya-Pelabuhan Klang.
Sementara itu, hentian Gombak akan dihapuskan.
BACA: Kerajaan umum projek ECRL diteruskan
Kerajaan sebelum ini memaklumkan jajaran projek ECRL disahkan akan diubah dengan memberi manfaat kepada Negeri Sembilan sekiranya ia diteruskan selepas rundingan diadakan dengan kerajaan China.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang mengesahkan perkara berkenaan berkata, keputusan itu dijangka dicapai dalam lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Republik itu yang antara lain akan membincangkan untuk mengurangkan kos pembinaan projek mega berkenaan.
BACA: ECRL buka peluang ekonomi di Pantai Timur - Penganalisis
Pelantikan Tun Daim sebagai utusan khas Perdana Menteri bagi mengetuai proses perundingan semula ECRL dengan Kerajaan China dilakukan supaya penyelesaian menang-menang diperolehi.
Pada 4 Julai tahun lalu, China Communication Construction Company Ltd (CCCC) selaku kontraktor utama ECRL menyatakan, semua kerja membabitkan ECRL dengan jajaran sepanjang 688.3 kilometer digantung berkuat kuasa serta-merta.
#bangi #Beijing #Daim Zainuddin #ECRL #Infrastruktur #Jelebu #Kajang #Kota Bharu #Kuala Kelawang #Mahathir Mohamad #Malaysia Baharu #mentakab #Pelabuhan Klang #pengangkutan #Putrajaya #rel