[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
BUSINESS

Lapan cara Malaysia boleh tangani isu 'brain drain' - Ong Kian Ming

Nina Rozman 26/03/2025 | 07:31 MYT
Prof Ong, pakar Malaysia di luar negara bukan sekadar ‘brain drain’ tetapi aset strategik yang menghubungkan Malaysia dengan syarikat global. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Isu 'brain drain' atau kehilangan bakat yang berkemahiran tinggi telah lama membelenggu negara.
Namun, menurut Pro Naib Canselor (Penglibatan Luar) Taylor's University, Prof Ong Kian Ming, ada beberapa inisiatif dan polisi yang boleh membantu mengurangkan masalah ini.
Berikut adalah beberapa langkah untuk mengurangkan fenomena ini serta menarik kembali tenaga pakar ke negara ini:
1. Peluang pekerjaan untuk pakar sektor tertentu
Dalam dekad terakhir, Malaysia telah berjaya menarik ramai pakar dalam sektor-sektor tertentu yang memerlukan kepakaran tinggi.
“Saya rasa trend dalam 10-20 tahun yang baru ini telah ada sedikit perubahan, di mana peluang pekerjaan yang diwujudkan di Malaysia telah berjaya menarik ramai pakar, bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga dari negara lain untuk kembali ke Malaysia," katanya.
Ini telah memberi kesan positif terhadap pengurangan 'brain drain'.
2. Program Kepulangan Pakar (REP)
TalentCorp melalui Program Kepulangan Pakar (REP) merupakan inisiatif penting dalam membawa kembali tenaga pakar ke Malaysia.
Sehingga kini, lebih 4,000 individu telah kembali untuk menyumbang dalam sektor strategik seperti teknologi dan penyelidikan.
3. Kepulangan berdasarkan jumlah kepakaran, bukan kadar
Prof Ong menekankan bahawa tumpuan harus diberikan kepada jumlah kepulangan pakar yang berkemahiran tinggi dan bukannya hanya kadar kepulangan.
Mereka yang kembali akan memberikan sumbangan yang besar dalam jangka masa panjang kepada negara.
4. Isu imigresen dan PR keluarga
Salah satu cabaran utama dalam menarik tenaga pakar kembali adalah isu status penduduk tetap (PR) bagi ahli keluarga mereka yang bukan warganegara.
Jika polisi imigresen lebih fleksibel, ia dapat meningkatkan minat untuk kembali berkhidmat di Malaysia.
5. Peluang kerjaya dan gaji yang kompetitif
Walaupun gaji di Malaysia mungkin tidak setinggi di negara-negara lain seperti Singapura sebagai contoh, peluang untuk maju dalam kerjaya dan memegang jawatan yang lebih tinggi menjadi daya tarikan utama bagi mereka yang kembali.
“Saya rasa gaji mereka bukan rendah, tetapi peluang untuk tanggungjawab dan jawatan yang lebih tinggi merupakan salah satu sebab kenapa mereka balik.
"Contohnya, beberapa individu yang juga merupakan kenalan saya juga kembali di bawah program REP dan kini memegang jawatan penting di institusi ternama," tambahnya.
6. Menganggap pakar di luar negara sebagai aset berpotensi
Pakar Malaysia di luar negara tidak seharusnya dilihat sebagai kehilangan tenaga kerja, tetapi sebagai penghubung strategik untuk membawa masuk pelaburan dan peluang ke Malaysia.
Mereka berpotensi untuk membawa pelaburan dan membuka lebih banyak peluang kerja di Malaysia.
7. Kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta
Kerajaan Malaysia dan sektor swasta turut memainkan peranan besar dalam menarik bakat kembali ke Malaysia.
Contohnya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengumumkan strategi nasional semikonduktor dan bekerjasama dengan syarikat peneraju global dalam teknologi Unit Pemprosesan Pusat (CPU), Arm Limited untuk meningkatkan industri ini.
8. Perjanjian Ekonomi Johor-Singapura (JS-SEZ)
Perjanjian antara Malaysia dan Singapura untuk membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan langkah strategik untuk menarik tenaga kerja Malaysia di Singapura untuk bekerja di Johor.
Ini memberi manfaat kepada kedua-dua negara dengan meningkatkan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi serantau.
Kata Prof Ong lagi, melalui kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta serta dasar yang lebih telus dan sistematik, Malaysia boleh mengurangkan masalah 'brain drain' dan memanfaatkan bakat dari seluruh dunia sebagai aset penting untuk pembangunan negara.
Program Kepulangan Pakar (REP): Menarik bakat profesional Malaysia kembali berkhidmat
#Malaysia #pelaburan #brain drain #bakat #gaji #MITI