Laporan Wiki Impact: 20 syarikat teratas Bursa Malaysia derma RM129.25 juta secara tunai pada 2022

Bernama
September 29, 2023 20:00 MYT
Sebanyak 20 syarikat teratas Bursa Malaysia mendermakan RM129.25 juta secara tunai pada 2022, menurut laporan Wiki Impact bertajuk Bursa Top 20: Who's The Most Charitable?. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 syarikat teratas Bursa Malaysia mendermakan RM129.25 juta secara tunai pada 2022, menurut laporan Wiki Impact bertajuk Bursa Top 20: Who's The Most Charitable?.
Menurut laporan itu, Sime Darby Bhd, Tenaga Nasional Bhd, IOI Corp Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan CIMB Group Holding Bhd adalah kalangan penyumbang utama pada 2022.
Laporan itu menjelaskan bahawa maklumat tersebut adalah berdasarkan data yang tersedia secara umum, dan terdapat penurunan berbanding dengan jumlah derma pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM159.69 juta, mencerminkan corak pemberian korporat yang berubah-ubah.
"Nisbah purata tunai kepada untung bersih bagi kesemua 20 syarikat itu pada masa ini adalah 0.26 peratus, menunjukkan sedikit penurunan daripada purata 0.29 peratus pada 2021," tambahnya.
Laporan itu memaklumkan bahawa Sime Darby, dengan RM20 juta daripada RM1.10 bilion keuntungan bersihnya disalurkan kepada badan amal serta inisiatif sosial dan alam sekitar yang lain, sekali lagi membezakannya sebagai penyumbang tunai terbesar pada 1.81 peratus (pemberian tunai daripada keuntungan bersih), yang lebih tinggi daripada pemberian tunai berjumlah 1.40 peratus pada 2021.
"Selain itu, Tenaga Nasional Bhd memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM3.46 bilion dan mendermakan kira-kira RM153.71 juta, menyumbang 4.44 peratus daripada pendapatan bersih syarikat," tambah laporan itu.
Laporan itu menjelaskan 20 syarikat itu mengutamakan pendidikan sebagai bidang utama untuk pemberian amal, membentuk 33.6 peratus daripada sumbangan mereka, dikuti penajaan pada 15.6 peratus dan kebajikan pada 12.5 peratus, manakala sukan menerima bahagian terendah iaitu 1.8 peratus.
Pengasas Bersama Wiki Impact, Terence Ooi berkata 20 syarikat Bursa Malaysia teratas itu menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar korporat, memperluas impaknya kepada pekerja, komuniti dan masyarakat secara amnya.
Beliau berkata laporan itu menetapkan dasar dan visi untuk syarikat lain mencontohi atau mengatasi dari segi sumbangan.
"Pelaporan berasaskan bukti ini bukan sahaja menggambarkan pemberian korporat di Malaysia malah juga memberi peluang untuk menimbulkan perbualan di dalam bilik lembaga pengarah mengenai keperluan dan kepentingan syarikat yang membuat keuntungan untuk menyumbang dalam bentuk tunai dan barangan serta telus mengenai cara mereka membuat perubahan," katanya. - BERNAMA
#Bursa Malaysia #Wiki Impact #Bursa Top 20 #20 syarikat teratas