KUALA LUMPUR: Langkah terkini Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menaikkan kadar faedah sebanyak 0.75 mata peratusan pada Rabu dijangka diikuti oleh kebanyakan negara di dunia untuk mengekang inflasi dan pertumbuhan ekonomi yang lembap.

Felow Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun berkata tindakan untuk menyeimbangkan faktor mengekang inflasi dengan menangani kelembapan ekonomi akan menjadi amat mencabar.

Beliau berkata ini kerana ekonomi juga perlu berkembang maju dan pada masa yang sama memastikan kesejahteraan rakyat dan perniagaan.

"Fed menaikkan kadar faedah supaya dapat mengurangkan 'wang panas' dalam pasaran dengan harapan harga barangan akan turun.

"Di AS, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama adalah negatif.

"Sekiranya AS, ekonomi terbesar di dunia, menaikkan lagi kadar faedah pada tempoh suku berikutnya, kita akan melihat kemelesetan teknikal di AS, dan negara lain di dunia juga akan menjejakinya," katanya secara maya dalam program 'The Nation' terbitan Bernama TV pada Jumaat.

'Wang panas' ialah aliran dana yang dikawal oleh pelabur bertujuan memperoleh keuntungan jangka pendek atas perbezaan kadar faedah dan/atau jangkaan peralihan kadar pertukaran.

Oh berkata berdasarkan realiti situasi, terdapat percanggahan antara pertumbuhan cerah pada masa depan dengan realiti di lapangan.

"Apabila kadar faedah tinggi, ia akan lebih menyukarkan individu untuk meminjam wang, untuk perniagaan mendapatkan modal bagi mengembangkan atau mengekalkan perniagaan mereka.

"Oleh itu, ekonomi akan menjadi lembap dan lebih ramai yang akan diberhentikan kerja, walaupun berlaku lonjakan harga minyak sawit dan minyak mentah untuk Malaysia," katanya.

Menurut laporan, Fed menaikkan kadar faedah penanda arasnya sebanyak tiga suku daripada mata peratusan dalam satu tindakan yang menyamai kenaikan paling agresif sejak 1994.

Fed bersetuju dengan kenaikan 0.75 mata peratusan, yang akan meningkatkan kadar dana persekutuan penanda aras kepada di antara 1.5 peratus dengan 1.75 peratus.

Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada 11 Mei 2022, yang secara efektif menjadikan kadar tertinggi dan terendah bagi koridor OPR turut meningkat masing-masing kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.

-- BERNAMA