Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengadakan lebih banyak program penerangan berkaitan perniagaan dalam talian pada tahun depan, bagi meningkatkaan penguasaan bidang itu dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata perniagaan dalam talian merupakan gaya perdagangan ketika ini yang memerlukan usahawan menguasainya bagi mengelakkan ketinggalan dalam dunia perniagaan.

"Semua agensi di bawah MITI sudah disyorkan supaya menumpukan usaha mengadakan pelbagai program penerangan, seminar, forum, klinik dan sebagainya berkaitan perniagaan dalam talian, pada 2016.

"Selama ini para usahawan sudah diajar tentang pembungkusan, penjenamaan dan sebagainya dan itu sudah menjadi cerita lama. Sekarang ini kita mahu mereka (usahawan) menggiatkan usaha menguasai perniagaan dalam talian pula," katanya.

Ahmad yang juga anggota Parlimen Pontian berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pertemuan bersama MITI Wilayah Johor, agensi di bawah MITI dan beberapa usahawan tempatan, di sini hari ini.

Beliau berkata perniagaan yang beroperasi secara dalam talian bukan sahaja mudah dan berkesan malah mengurangkan kos perniagaan kerana tidak memerlukan premis dan menjimatkan masa urus niaga.

Katanya perniagaan demikian juga digalakkan sebagai antara usaha menangani kos sara hidup yang tinggi ketika ini.