KUALA LUMPUR: Lebih banyak syarikat di Malaysia sedang meneroka dan mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) generatif ke dalam operasi perniagaan mereka, kata IBM Malaysia.

Berdasarkan kajian Institut Nilai Perniagaan IBM, lebih 40 peratus profesional ICT melaporkan bahawa organisasi mereka sedang meneroka secara aktif penggunaan AI generatif bagi memacu pertumbuhan perniagaan.

Pengarah Urusan dan Peneraju Teknologi IBM Malaysia Catherine Lian memberitahu agak mengejutkan apabila hampir satu pertiga daripada syarikat yang dikaji telah menyepadukan AI generatif, menetapkan penanda aras baharu dalam inovasi dan kejayaan. Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan harus dipuji kerana meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam bidang AI.

"Kerajaan patut dipuji apabila memberikan tumpuan terhadap AI sebagai pemacu utama untuk pemulihan ekonomi, inovasi dan merapatkan jurang digital," kata Lian.

"Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Malaysia 2021-2025 (AI-Rmap) dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB) mencerminkan visi kerajaan dalam menyepadukan AI merentas sektor, memupuk peningkatan produktiviti, menarik pelaburan antarabangsa selain merapatkan jurang dengan negara maju," tambahnya.

IBM percaya bahawa AI menawarkan potensi yang besar untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan sasaran dasar Revolusi Perindustrian Nasional 4.0 (4IR) bagi peningkatan output sebanyak 30 peratus menjelang 2030 menggariskan peranan penting teknologi AI.

IBM kekal komited dalam menyokong inisiatif AI Malaysia dan menyumbang kepada pembangunan ekosistem AI yang bertenaga serta berjaya di negara ini sambil membina masa depan digital yang makmur dan inklusif untuk Malaysia.

Resepi kepada penggunaan AI yang berjaya ialah data , kata syarikat itu. "Tetapi tidak cukup dengan hanya mengumpul dan menyimpan jumlah data yang besar, perniagaan perlu mengakses, mentadbir serta menggunakan data ini dengan lancar dan selamat untuk memacu transformasi digital."

Walaupun sesetengah organisasi telah cuba menguruskan kerumitan ini dengan memindahkan data mereka ke repositori pusat, Lian berkata "realitinya adalah model salin dan tampal dalam pengurusan data adalah proses yang tidak cekap serta mahal".

Bagi menangani cabaran ini, IBM telah memperkenalkan pendekatan baharu yang dipanggil strategi "fabrik data", yang merupakan pendekatan bersepadu kepada pengurusan data yang mengintegrasikan sumber dan format data yang pelbagai dengan lancar.

Ia memecahkan silo data, membolehkan organisasi mengakses dan menganalisis data dari pelbagai lokasi dalam masa sebenar.

-- BERNAMA