KUALA LUMPUR:Belanjawan Sarawak 2021 yang dijangka menghasilkan lebihan RM180 juta disifatkan tidak masuk akal, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Chong Chieng Jen.

Jelas bekas Ketua Pembangkang DUN Sarawak itu, ini kerana pada tahun 2018 dan 2019, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mentadbir dengan bajet defisit walaupun pada dua tahun itu berlaku pertumbuhan ekonomi selain tiada pandemik COVID-19.

"Berbeza pula untuk tahun 2020 dan 2021 kerajaan mentadbir dengan lebihan bajet ketika keadaan ekonomi sedang meleset. Ini bercanggah dengan prinsip asas ekonomi.

"Pada prinsip asas ekonomi, apabila sesebuah kerajaan mentadbir dengan belanjawan defisit ketika berlakunya pertumbuhan ekonomi, terdapat risiko berlaku kadar inflasi yang tinggi.

"Sebaliknya, apabila pertumbuhan ekonomi menurun atau negatif dan kerajaan yang mentadbir menjangkakan lebihan belanjawan, ia akan berlaku kemelesetan yang teruk," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada 9 November lalu, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Belanjawan Sarawak 2021 bernilai RM9.832 bilion dengan jangkaan menghasilkan lebihan RM180 juta.

Ini memandangkan anggaran pendapatan negeri untuk tahun 2021 berjumlah RM10.012 bilion.

Selain itu, Chieng Jen mendakwa, kerajaan negeri telah melakukan perbelanjaan berlebihan pada tahun 2018 dan 2019 hingga mengurangkan rizab negeri daripada RM30.04 bilion pada 31 Disember 2017 kepada RM23.97 bilion pada 31 Disember 2018.

Dakwanya, dalam tempoh dua tahun pentadbiran Abang Johari, rizab negeri telah berkurangkan sebanyak RM6.07 bilion.

"Walaupun kenyataan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di DUN Sarawak memberitahu mengenai lebihan belanjawan pada tahun 2018 tetapi Laporan Ketua Audit Negara 2019 menunjukkan perbelanjaan negeri melebihi pendapatan untuk tahun 2018 dan 2019.

"Pengurangan pada rizab negeri dari 2017 hingga 2019 menunjukkan defisit," katanya.

Dalam perkembangan sama, dengan persekitaran ekonomi yang merundum pada tahun 2021, Chieng Jen mencadangkan kerajaan supaya berbelanja dengan lebih bagi membantu merangsang ekonomi serta bukannya mengawal perbelanjaaan sekali gus menjangkakan lebihan belanjawan.