BISNES

Legoland Malaysia pergiat usaha manfaatkan JS-SEZ Tahun Melawat Johor 2026

Bernama 02/08/2025 | 03:40 MYT
Legoland Malaysia terus melakukan usaha pelaburan semula dalam kemudahan dan tarikan bagi meningkatkan pengalaman pengunjung selain kekal berdaya saing dalam landskap pelancongan yang kian berkembang.
ISKANDAR PUTERI: Legoland Malaysia sedang giat melakukan usaha bagi meraih manfaat daripada kerancakan aktiviti rentas sempadan dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang seiringan dengan inisiatif pelancongan Tahun Melawat Johor 2026 (TMJ 2026).

Naib Presiden Legoland Malaysia Resort, Cs Lim berkata, peningkatan peranan JS-SEZ sebagai pintu masuk ekonomi antara Johor dan Singapura, turut membuka peluang pertumbuhan baharu kepada Legoland Malaysia bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong pada tahun-tahun akan datang.

"Jika inisiatif ini terus berkembang dan lebih banyak syarikat ditubuhkan atau berpindah ke sini, keadaan itu lazimnya akan menarik kehadiran lebih ramai orang ke kawasan ini.

"Apabila ini direalisasikan, kami menjangkakan jumlah pengunjung lebih besar untuk meninjau kawasan sekitar, termasuk Legoland Malaysia," katanya kepada Bernama selepas merasmikan tarikan Miniland Singapore yang dipertingkatkan, di sini, pada Jumaat.

Perasmian itu dilakukan bersama oleh Naib Konsul Kementerian Luar Singapura, Lim En Wei dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Johor, Nurazlin Abu Talib.

Miniland Singapore di Legoland Malaysia yang pertama kali diperkenalkan 2012, telah diberi nafas baharu bersempena sambutan ulang tahun ke-60 republik berkenaan.

Tarikan itu menampilkan 16 model baharu serba mengagumkan dan dibina menggunakan lebih daripada 1.5 juta bongkah Lego.

Antara tarikan utamanya seperti mercu tanda ikonik Marina Bay Sands, Singapore Flyer, Air Pancut Merlion serta Cloud Forest dan Flower Dome.

Dalam pada itu, Lim berkata, Legoland Malaysia terus melakukan usaha pelaburan semula dalam kemudahan dan tarikan bagi meningkatkan pengalaman pengunjung selain kekal berdaya saing dalam landskap pelancongan yang kian berkembang.

Pada masa sama, peranan Legoland dalam menarik pelawat domestik dan antarabangsa juga dijangka terus menyokong aktiviti ekonomi di Johor.

Syarikat itu juga misalnya telah menyaksikan peningkatan jumlah pengunjung secara konsisten sejak beberapa tahun lepas, didorong oleh permintaan kukuh daripada pasaran penduduk tetapnya iaitu Malaysia dan Singapura yang menyumbang kira-kira 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pengunjung.

Beliau berkata, baki 40 peratus adalah pelancong dari Indonesia, China, Filipina, Australia, Korea Selatan dan negara-negara lain.

Lim turut berkongsi sentimen optimis Legoland Malaysia mengenai prospek syarikat bagi tempoh separuh kedua 2925 dan 2026 yang bakal menyaksikan kempen TMJ 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang berlangsung secara serentak.

"Kami juga telah mula membuat persiapan, termasuk mempertingkat sistem beratur dan pesanan selain memastikan jumlah kepakaran teknikal yang secukupnya," katanya.

-- BERNAMA





#Legoland Malaysia #JS-SEZ #Tahun Melawat Johor 2026 #Miniland Singapore