KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memperluas asas hasil supaya dapat terus mempertingkatkan penjagaan kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial negara, menurut Bank Dunia.

Ketua Ahli Ekonomi (Kemiskinan dan Kesaksamaan) Dr Matthew Wai-Poi mencadangkan agar negara mempertimbangkan asas cukai pendapatan individu yang lebih luas di samping melaksanakan cukai penggunaan yang menyeluruh dengan pengecualian terhad.

"Antara cara untuk memperluas asas cukai pendapatan individu ialah meningkatkan sumber pendapatan individu," katanya kepada Bernama di luar pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) ke-28 Bank Dunia bertajuk Raising the Tide, Lifting All Boats di sini, pada Selasa.

MEM ialah penerbitan utama dua kali setahun Bank Dunia mengenai kemajuan ekonomi dan pembangunan Malaysia.

Hadir sama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Yasuhiko Matsuda.

Matthew berkata cukai, penyaluranerahan dan subsidi membantu meringankan kemiskinan manakala perbelanjaan pendidikan dan kesihatan mengurangkan lagi ketaksamaan.

Pada 2019, cukai, pindahan dan subsidi telah melegakan sedikit kemiskinan negara sebanyak 0.9 mata, manakala perbelanjaan pendidikan dan kesihatan mengurangkan lagi ketaksamaan sebanyak 6.5 mata, katanya.

Beliau berkata walau bagaimanapun, cukai dan perbelanjaan di negara ini tidak begitu progresif berbanding di negara berpendapatan sederhana tinggi yang lain.

Matthew berkata pada masa ini, kira-kira 90 peratus daripada cukai pendapatan individu di Malaysia dibayar oleh kalangan 10 peratus teratas daripada kumpulan berpendapatan tertinggi (T20), kira-kira bersamaan 10 peratus daripada pendapatan mereka.

10 peratus lagi daripada kumpulan T20 hanya membayar 3.0 peratus daripada pendapatan mereka, walaupun mereka mampu membayar lebih, katanya.

Bagi cukai kesihatan, beliau mencadangkan kenaikan 0.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke atas cukai tembakau dan alkohol.

"Angka ini tidak besar, namun bila digabungkan ia hampir 1.0 peratus daripada KDNK," katanya.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia (Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan), Shakira Teh Sharifuddin berkata penyusutan hasil Malaysia bagi tempoh 2012 hingga 2022 merupakan antara yang paling ketara pernah dicatatkan dalam kalangan negara setaranya.

Beliau berpandangan bahawa asas hasil yang lebih rendah tidak mencukupi untuk mempertingkatkan ekonomi.

"Pada 2022, kadar kemiskinan adalah 6.2 peratus berbanding 5.6 peratus pada 2019, manakala 490,000 isi rumah masih hidup di bawah purata garis kemiskinan negara," katanya.

Perjuangan menangani kemiskinan tegar di Malaysia merupakan antara aspirasi Kerajaan Perpaduan.

Dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, sebanyak RM1.5 bilion diluluskan untuk program dan projek yang boleh menjana pendapatan untuk kumpulan sasar dalam usaha membasmi kemiskinan tegar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan tunai dan program Rahmah akan diteruskan dan dipertingkatkan untuk memastikan penambahbaikan rangkaian keselamatan sosial berterusan.

-- BERNAMA