Skip to main content

Bisnes

M-Aurelia, inovasi krim tanpa air dari kampus ke industri

M-AURELIA TB
Nur Alya Aina Mohamad, membentangkan inovasi M-Aurelia dalam segmen CIPTA pada Jelajah JIWA SME 2026 di Kuala Lumpur.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Inovasi krim pelembap tanpa air berasaskan tumbuhan, M-Aurelia, meraih Anugerah Penyertaan Terbaik bagi segmen CIPTA pada Jelajah JIWA SME 2026 Kuala Lumpur, sekali gus menonjolkan potensi hasil penyelidikan pelajar untuk dikembangkan dengan sokongan industri.

Diketengahkan oleh pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Nur Alya Aina Mohamad, inovasi itu dibangunkan sebagai alternatif dalam bidang penjagaan kulit yang mengutamakan penggunaan ramuan berasaskan tumbuhan.

M-Aurelia menggunakan formula 100 peratus tanpa air yang mengandungi pemekat semula jadi, minyak sayuran, vitamin E dan antioksidan sebagai alternatif kepada penggunaan bahan berasaskan petroleum dalam produk penjagaan kulit.

Formula tersebut disasarkan untuk menawarkan pilihan berkepekatan tinggi yang selamat dan lembut bagi perlindungan kulit, selari dengan pendekatan pembangunan produk yang lebih mesra alam.

Pengiktirafan menerusi segmen CIPTA menjadi petunjuk awal terhadap potensi pasaran M-Aurelia, selain mencerminkan kemampuan pelajar menterjemahkan pengetahuan akademik kepada penyelesaian yang boleh dikembangkan secara komersial.
 

Image
M-AURELIA INSERT
M-Aurelia ialah inovasi krim pelembap berasaskan tumbuhan yang menggunakan formula 100 peratus tanpa air sebagai alternatif dalam bidang penjagaan kulit. - Gambar M-Aurelia

Dalam pembangunan M-Aurelia, UMPSA menyediakan ekosistem penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan, manakala MNR Multitech Sdn. Bhd. berperanan sebagai rakan industri yang menghubungkan kepakaran universiti dengan pembangunan produk secara praktikal.

Sokongan MNR Multitech merangkumi penyediaan persekitaran teknikal untuk menguji dan memperhalusi formula sebelum inovasi tersebut bergerak ke peringkat pembangunan pasaran.

Buat masa ini, M-Aurelia masih berada dalam fasa penyelidikan dan pembangunan yang memberikan tumpuan kepada pengoptimuman formula serta ujian kestabilan di bawah bimbingan teknikal MNR Multitech.
 

Image
M-AURELIA INSERT
Tekstur krim M-Aurelia yang mengandungi pemekat semula jadi, minyak sayuran, vitamin E dan antioksidan sebagai alternatif kepada bahan berasaskan petroleum. - Gambar M-Aurelia

Kerjasama berkenaan bukan sahaja membantu mempercepat proses pembangunan inovasi, malah memberi pendedahan langsung kepada pelajar dalam bidang penyelidikan, keusahawanan dan pengkomersialan.

Pendekatan itu memperlihatkan bagaimana kerjasama universiti dan industri dapat mengembangkan potensi pelajar melalui penyelidikan tersusun, bimbingan teknikal, pementoran industri serta pendedahan pasaran.

MNR Multitech turut membuka ruang kepada pihak yang berminat untuk meneroka peluang kerjasama strategik dan mengikuti perkembangan M-Aurelia menerusi platform media sosial syarikat.

Must Watch Video

Advertisement